KOTA KINABALU, 15 Mac (Bernama) -- Kumpulan Yayasan Sabah melancarkan program Insentif Rebat MADANI yang menawarkan rebat 30 peratus daripada baki pinjaman kepada pelajar apabila mereka menyelesaikan pinjaman sepenuhnya antara April hingga Jun tahun ini.
Pengarahnya Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk meringankan beban kewangan peminjam, di samping menggalakkan penyelesaian pinjaman secara penuh.
Beliau berkata inisiatif dibuat susulan pencapaian cemerlang Kumpulan Yayasan Sabah yang mencatat kutipan sebanyak RM6.6 juta pembayaran balik pinjaman setiap tahun bagi dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024, sekali gus memperlihatkan pengurusan kewangan yang kukuh dan komitmen peminjam.
“Untuk mempertingkatkan kemudahan pembayaran balik pinjaman, Kumpulan Yayasan Sabah akan melancarkan Portal Pembayaran Balik Pinjaman yang baharu dengan menyediakan akses menyeluruh kepada peminjam berkaitan maklumat pembayaran, butiran rebat, polisi pinjaman, dan soalan lazim (FAQ)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peminjam boleh menggunakan pelbagai kaedah pembayaran termasuk Maybank2u, JomPAY serta pemindahan telegraf untuk pelanggan bank lain.
Kaedah pembayaran tradisional juga kekal tersedia melalui kaunter di Menara Tun Mustapha, Teluk Likas dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu.
Beliau berkata pihaknya turut menyediakan pelbagai saluran kepada peminjam untuk mendapatkan maklumat, termasuk portal rasmi yayasansabahgroup.org.my, Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, e-mel bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my atau hubungi 011-3318 1088.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial