WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IFTAR@KL ANTARA TARIKAN UTAMA SEMPENA TMM2026 - KHAIRUL FIRDAUS

15/03/2025 10:33 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memartabatkan program Iftar@KL sebagai antara produk utama untuk dipromosikan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Timbalan Menteri berkenaan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata program ini dilihat penting sebagai daya tarikan pelancong kerana ia memperlihatkan keunikan variasi juadah dan sambutan Ramadan di negara ini.

“Bulan Ramadan dan Syawal di negara kita mempunyai keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan negara lain. Bukan hanya masyarakat Islam yang menyambutnya, malah ia turut dirayakan oleh pelbagai agama, bangsa dan latar belakang.

“Ia kekuatan kita yang perlu diketengahkan kerana program ini bukan sahaja menunjukkan keindahan budaya Malaysia, tetapi juga mengukuhkan imej negara sebagai destinasi pelancongan yang mesra Muslim,” katanya pada sidang media Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

 Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mewujudkan pelan kontingensi untuk memastikan kelancaran program itu bagi kemudahan dan keselesaan pengunjung.

Ditanya sama ada kementerian bercadang memberikan insentif kepada pempengaruh untuk mempromosikan keunikan juadah dan sambutan Ramadan bersempena dengan TMM2026, Khairul Firdaus berkata MOTAC akan memperincikan cadangan berkenaan.

“Insya-Allah kementerian akan menyahut dan memperincikan (cadangan ini), seterusnya melakukan tindakan bagaimana kita boleh angkat dan bawa makanan kita khususnya di bazar Ramadan supaya dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Mengenai Iftar@KL 2025, beliau berkata lebih 35,000 pengunjung hadir memeriahkan acara itu walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang mengizinkan.

Program yang berlangsung selama empat hari, iaitu pada 15, 16, 22 dan 23 Mac ini di Dataran Merdeka bertujuan mengimarahkan Ramadan, memperkukuh ukhuwah serta toleransi antara kaum dan menyemarakkan kebudayaan serta kesenian Islam kepada pelancong. 

Antara pengisian program itu ialah sesi iftar beramai-ramai, Tazkirah Ramadan, aneka kendera saji, solat serta tarawih berjemaah dan penyampaian sumbangan kepada asnaf serta golongan yang memerlukan.

Sementara itu, bagi pengunjung Nur Annisa Nabila Mohd Norman, 26, ketika ditemui Bernama berkata program Iftar@KL 2025 memberikan pengalaman yang sangat bermakna kerana kali pertama dia berpeluang menyertai program berkenaan.

"Walaupun hujan lebat ketika berbuka, suasananya tetap meriah dan penuh dengan semangat. Saya berharap program ini dapat diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan