WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SOKONGAN KERAJAAN PENTING PERCEPAT PENERIMAGUNAAN AI DAN IOT – PAKAR

16/03/2025 10:48 AM

Oleh Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) – Sokongan kerajaan penting dalam mempercepat penerimagunaan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT), kata pakar industri IoT.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif Favoriot Sdn Bhd Dr Mazlan Abbas berkata ini terutamanya penting di negara membangun seperti Malaysia yang infrastruktur, pembiayaan dan kepakaran teknikalnya terus memberikan cabaran besar.

Mazlan berkata intervensi kerajaan menerusi insentif cukai, subsidi dan rangka kerja kawal selia akan membolehkan perniagaan melabur dalam teknologi ini dan memacu transformasi digital jangka panjang.

"Menyediakan bantuan kewangan kepada perniagaan yang membangunkan penyelesaian AI dan IoT akan merangsang inovasi tempatan dan mengurangkan pergantungan terhadap teknologi diimport," katanya kepada Bernama.

Menurutnya, Malaysia telah mencapai kemajuan ketara dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Kebangsaan yang menggariskan strategi utama untuk mengembangkan keupayaan AI merentas pelbagai industri.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun dasar dan rangka kerja telah dilaksanakan, penerimagunaan dunia sebenar masih menjadi cabaran.

Mazlan berkata syarikat pemula niaga tempatan memainkan peranan penting mempercepatkan pelaksanaan AI dan IoT, terutamanya dalam menangani cabaran khusus komuniti dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Tidak seperti syarikat yang lebih besar, beliau berkata syarikat pemula niaga lebih tangkas, inovatif dan mampu bertindak balas dengan cepat kepada keperluan tempatan.

"Syarikat pemula niaga membangunkan penyelesaian teknologi yang disesuaikan, seperti AI untuk pemantauan tanaman atau IoT bagi amaran banjir, mengisi jurang yang ditinggalkan oleh syarikat yang lebih besar yang cenderung menumpukan pada pasaran yang lebih luas," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun mempunyai potensi, syarikat pemula niaga berdepan halangan termasuk pembiayaan terhad, peraturan rumit dan kekurangan peluang kerjasama.

Menurutnya, perlu ada sokongan kewangan kukuh, peraturan yang dipermudahkan dan penyepaduan lebih baik antara syarikat pemula dan syarikat lebih besar untuk memastikan pertumbuhan yang mampan.

"Kerajaan boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan geran, pinjaman atau dana pemula niaga khusus untuk membantu pengasas mengubah idea menjadi produk dan penyelesaian yang berdaya maju," katanya.

Mazlan juga menekankan kepentingan mewujudkan sandbox kawal selia yang menyediakan persekitaran terkawal untuk syarikat menguji teknologi AI dan IoT sebelum penggunaan secara besar-besaran.

Beliau yang memetik Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) sebagai contoh berkata kemudahan itu membolehkan penyelidik dan syarikat pemula niaga untuk menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian mereka dalam persekitaran dunia sebenar.

Inisiatif sedemikian, katanya, bukan sahaja menggalakkan inovasi tetapi juga memastikan pematuhan piawaian industri.

Selain sokongan kewangan dan kawal selia, beliau menekankan perlu adanya pembangunan bakat dalam AI dan IoT, yang memerlukan pelaburan lebih besar dalam pendidikan dan latihan kemahiran.

Mazlan berkata universiti dan institusi latihan vokasional perlu menumpu untuk melengkapkan pelajar dengan kepakaran dalam AI, IoT, dan analisis data untuk memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.

"Perkongsian awam-swasta juga boleh memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang kemahiran, dengan syarikat yang ditubuhkan bekerjasama dengan syarikat pemula untuk membangunkan penyelesaian dipacu AI bagi sektor kritikal seperti pertanian, penjagaan kesihatan dan mobiliti bandar," katanya.

Favoriot, syarikat pemula niaga Malaysia yang menyediakan platform IoT bagi pelbagai projek meneraju transformasi digital dengan menawarkan penyelesaian IoT untuk bandar pintar, penjagaan kesihatan dan aplikasi perindustrian.

Syarikat itu juga telah menjalin perkongsian penting, termasuk bekerjasama dengan firma keselamatan siber Kaspersky untuk meningkatkan keselamatan IoT dan perlindungan data.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan