BANDAR BAHARU, 19 Mac (Bernama) -- Sejumlah 734 naskah al-Quran dan 19,682 bahan al-Quran yang tiada perakuan dengan anggaran nilai RM502,737 disita bagi tempoh 7 hingga 12 Mac lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sitaan itu dilaksanakan menerusi Ops Mulia yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Sepanjang Ramadan ini, mulai 7 hingga 26 Mac kita sedang menggerakkan Ops Mulia bagi memantau dan mengawal selia Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.
“Sepanjang tempoh ini kami akan memeriksa syarikat percetakan, premis dan individu. Setakat 12 Mac lepas, kami telah memeriksa 794 buah premis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni sempena sambutan Nuzul Al-Quran dan Ihya Ramadan di Kampung Permatang Kerat Telunjuk di sini semalam.
Beliau berkata hasil daripada operasi tersebut sebanyak 88 kertas siasatan telah dibuka.
Saifuddin Nasution berkata pada tahun lepas Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan juga telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 822 buah premis menerusi operasi yang sama.
Beliau berkata melalui operasi itu sejumlah 8,212 naskah al-Quran dan 11,694 bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta telah disita dengan 160 kertas siasatan telah dibuka.
“Adalah penting untuk saya tekankan bahawa sepanjang Ramadan ini pun Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan terus beroperasi bagi memastikan kemuliaan serta kepatuhan terhadap undang-undang ini dapat dihayati dengan baik oleh masyarakat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata menerusi Ops Cetak yang dijalankan sepanjang tahun lalu sebanyak 1,759 pemeriksaan telah dilakukan dengan 20,000 pelbagai bahan penerbitan dengan anggaran nilai RM1.2 juta telah disita.
Saifuddin Nasution berkata operasi tersebut dijalankan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi menangani penerbitan yang tidak diingini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial