WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KABINET BERSETUJU DENGAN TERMA, SYARAT PERJANJIAN PENCARIAN BANGKAI PESAWAT MH370

19/03/2025 09:40 PM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Kabinet telah bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian dengan Ocean Infinity (United Kingdom) bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata dengan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat berkenaan.

“Keputusan Jemaah Menteri ini membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip no find, no fee,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata berdasarkan prinsip ini, Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan bayaran kepada syarikat berkenaan sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat MH370 ditemukan dan fi sebanyak USD70 juta akan dibayar kepada Ocean Infinity jika ia berjaya dijumpai.

“Kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup bagi keluarga waris penumpang pesawat MH370," katanya.

Sebelum ini, Ocean Infinity melakukan pencarian pesawat yang hilang itu bermula dari Januari 2018, meliputi lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut di selatan Lautan Hindi sebelum menamatkan misi pada 29 Mei 2018.

Pada 8 Mac 2014, Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, telah hilang daripada radar dan kehilangan pesawat itu kekal hingga hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan