WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEWAN NEGARA LULUS RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS MEDIA MALAYSIA

19/03/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 (RUU MMM 2024) yang antara lain bertujuan membuka jalan ke arah media yang lebih demokratik, bebas dan beretika di Malaysia.

Rang Undang-undang yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 17 senator.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Teo berkata satu kod tatalaku perlu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan MMM bagi menetapkan peraturan tersendiri tanpa campur tangan kerajaan.

“Kita hendak memperkasa majlis media, kita percaya bahawa majlis media boleh self regulate dan oleh sebab itu, kita akan beri kuasa kepada majlis media untuk meluluskan kod tatalaku mereka termasuk prosedur untuk bagaimana mengenali ketidakpuasan hati,” katanya.

Teo berkata Jawatankuasa MMM juga mempunyai kuasa menjemput sesiapa sahaja sama ada ahli atau bukan ahli untuk mengambil bahagian sekiranya mereka memulakan sesuatu siasatan.

“Kalau mereka (jawatankuasa) rasa pelaporan itu adalah tidak beretika, maka mereka boleh ambil tindakan gantung keahlian terhadap orang yang diadu.

“Kalau mereka rasa bahawa pergantungan keahlian itu tidak mencukupi dan perlu tindakan yang lebih serius diambil, mereka boleh syorkan tindakan diambil Polis Diraja Malaysia ataupun Jabatan Penerangan Malaysia untuk gantungkan kad perakuan media dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata RUU berkenaan memperuntukkan dua wakil kerajaan dalam lembaga MMM, kerana ia adalah sebuah badan yang ditubuhkan melalui rang undang-undang kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi.

“Oleh itu wakil kerajaan adalah wajar berada dalam lembaga majlis untuk urusan kerajaan dan seperti yang telah dijelaskan dalam RUU ini, wakil kerajaan ini hendaklah dalam kalangan orang yang terlibat dalam media industri seperti RTM dan Bernama,” katanya.

Beliau berkata anggota yang dilantik mewakili kerajaan hendaklah dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri media dan bukan sekadar ejen kerajaan.

“Saya percaya penglibatan mereka dalam MMM akan memberi kesan positif kepada majlis media dan saya hendak menegaskan, dalam lembaga majlis media ini ada 21 anggota, jadi dua wakil kerajaan itu satu peratusan sangat kecil. Saya percaya anggota lain akan buat yang terbaik untuk memastikan tiada campur tangan kerajaan.

“Sekiranya dua wakil kerajaan membawa usul atau membuat sesuatu yang mengancam kebebasan media, saya percaya 19 anggota dalam lembaga majlis media ini tidak akan meluluskan atau menyokong inisiatif seperti itu, jadi kami percaya terhadap kebijaksanaan majoriti yang merupakan satu prinsip demokrasi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan