WILAYAH - SARAWAK > BERITA

INDONESIA PERKUKUH HUBUNGAN EKONOMI DENGAN CHINA

19/03/2025 05:41 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 19 Mac (Bernama) -- Indonesia memperkukuh perkongsian ekonominya dengan China menerusi inisiatif baharu yang bertujuan menarik pelaburan industri ke Zon Ekonomi Khas (SEZ) Batang di Jawa Tengah.  

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata projek itu, sebahagian daripada program Taman Berkembar Dua Negara (TCTP) dijangka menjana pelaburan kira-kira 16 trilion rupiah atau kira-kira US$1 bilion.  

"Kerajaan terus memanfaatkan SEZ untuk menarik pelaburan asing, dengan beberapa zon diberikan keutamaan untuk pembangunan tahun ini," katanya dalam kenyataan susulan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto pada Selasa.  

Airlangga berkata pengumuman itu dibuat menjelang lawatan Prabowo ke SEZ Batang pada Khamis sambil menyatakan bahawa kerjasama TCTP telah dibincangkan semasa pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing tahun lepas.  

Beliau berkata Indonesia juga bersedia untuk memperluas Taman Digital Nongsa di Batam, dengan beberapa pusat data dirancang untuk dibangunkan dalam beberapa bulan akan datang. 

Selain memperkukuh hubungan ekonominya dengan China, Indonesia turut giat merundingkan beberapa perjanjian perdagangan antarabangsa.  

Airlangga menjelaskan bahawa negara itu telah mengemukakan sebahagian daripada memorandum awal kepada Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), dengan mesyuarat penting dijadualkan pada Jun 2025 bagi menentukan langkah seterusnya dalam proses penyertaan.  

Indonesia juga bersiap sedia untuk mesyuarat jawatankuasa bersama dengan Rusia pada April bagi memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU), blok yang terdiri daripada Rusia, Armenia, Belarus, Kazakhstan dan Kyrgyzstan.  

"Perjanjian prinsip dijangka dimeterai semasa lawatan Prabowo ke Rusia pada Jun tahun ini," katanya.  

Sementara itu, Indonesia sedang mempergiat usaha untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), pakatan perdagangan yang melibatkan 12 ekonomi di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia.  

Penyertaan dalam perjanjian itu akan memberikan Indonesia akses lebih luas kepada pasaran eksport seperti Mexico, Kanada dan United Kingdom, selain pengurangan tarif sebaik sahaja menyertai perjanjian berkenaan, tambah Airlangga.  

-- BERNAMA  

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan