WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ALAM FLORA GALAK PENGUNJUNG BAZAR BAWA BEG GUNA SEMULA DEMI KELESTARIAN ALAM

20/03/2025 09:03 AM

PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd, anak syarikat Malakoff Corporation Bhd, menyeru orang ramai agar membawa beg guna semula dan bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan untuk mengurangkan pembuangan sampah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata sebagai peneraju dalam penyelesaian alam sekitar, Alam Flora akan meneruskan usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan beg guna semula sebagai sebahagian daripada inisiatif kelestarian dan alternatif kepada beg plastik, yang memberi kesan terhadap alam sekitar.

"Penggunaan beg plastik sekali guna memberi impak yang besar termasuk pencemaran dan kemusnahan ekosistem. Oleh itu, kami ingin mengajak orang ramai bersama-sama membudayakan amalan membawa beg guna semula sebagai langkah mudah untuk memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat. 

"Ia juga bagi memudahkan orang ramai untuk membuat perubahan positif dalam amalan harian mereka," katanya kepada media pada Program Kongsi Rezeki Alam Flora bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Festival Ramadan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden PPj Datuk Fadlun Mak Ujud.

Shariman Yusuf berkata sebagai langkah memberi didikan dan kesedaran secara berterusan, Alam Flora telah mengagihkan 350 beg guna semula dan 2,000 pek bubur lambuk di dalam bekas yang boleh guna semula kepada pengunjung di Bazar Ramadan, Presint 3, di sini.

"Usaha kecil oleh Alam Flora ini diharapkan dapat mencetus satu anjakan tabiat membeli-belah yang lebih lestari dan positif terhadap alam sekitar apabila kita kurangkan penggunaan beg plastik secara total," katanya.

Sementara itu, Fadlun berkata sempena penganjuran Festival Ramadan Putrajaya, PPj meneruskan pelbagai program dan kempen kelestarian alam selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Putrajaya sebagai peneraju bandar hijau karbon rendah dengan sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG)  sebanyak 60 peratus menjelang 2030.

Bertemakan ‘Go Green’ Bazar Ramadan Putrajaya, beliau berkata antara aktiviti yang diadakan Bazar Ramadan Bebas Tunai, Kempen Hindari Penggunaan Plastik Sekali Guna, Bawa Beg atau Bekas Sendiri, dan Guna Produk Bio-degradasi.

“Turut dilaksanakan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (Jom Bio-diesel) dan Kempen Pengurangan Sisa Organik Melalui Pengkomposan di Bazar Ramadan dengan kerjasama Alam Flora,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan