WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TOP GLOVE BERADA DI LANDASAN CAPAI 43 BILION JUALAN MENJELANG AKHIR TAHUN KEWANGAN 2025

20/03/2025 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Top Glove Corporation Bhd berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran jumlah jualan sebanyak 43 bilion helai sarung tangan menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025, didorong oleh peningkatan pesanan dan peningkatan kecekapan operasi.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata sasaran tersebut boleh dicapai dengan sokongan daripada peningkatan permintaan dan pengurusan yang lebih baik.

“Kami yakin dapat mencapai jumlah jualan sebanyak 43 bilion sarung tangan untuk tahun kewangan 2025, kerana lebih banyak pesanan dijangka diterima, terutamanya pada Mac dan April.

“Kecekapan kos dan pengurusan kualiti kami juga telah meningkat berbanding satu atau dua tahun yang lepas, yang memperkukuhkan daya saing kami dan kebolehan untuk memenuhi sasaran ini,” katanya dalam taklimat maya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove Lim Cheong Guan berkata permintaan sarung tangan yang kukuh dijangka berterusan, terutamanya kerana jualan di Amerika Syarikat (AS) dijangka pulih dalam beberapa bulan akan datang setelah stok yang dibeli lebih awal semakin berkurangan.

“Walaupun persaingan kekal sengit di kawasan lain, portfolio produk yang pelbagai membolehkan kumpulan ini menyesuaikan dengan menawarkan pelbagai jenis sarung tangan yang sejajar dengan keutamaan pelanggan dan keperluan harga,” katanya.

Bagi purata harga jualan, Lim menyatakan kawalan harga yang lebih kukuh di beberapa kawasan akan meningkatkan margin keuntungan.

“Tiada peluasan baru dijangka di China akibat isu tarif. Walaupun mungkin  berlaku peluasan di luar China, ia dijangka terhad skopnya disebabkan ketidaktentuan berkenaan tindakan yang mungkin diambil oleh AS terhadap peluasan di luar China,” katanya.

Selain itu, Lim berkata kumpulan ini akan terus membuka semula kilang-kilang yang ditutup sementara apabila kadar penggunaan mencapai sekitar 70 peratus.

“Sehingga suku kedua tahun kewangan 2025, kadar penggunaan kami berada pada 58 peratus. Kami akan terus memantau nisbah bekalan dan permintaan,” katanya.

Sebelum ini, Top Glove kembali mencatatkan keuntungan, dengan keuntungan bersih sebanyak RM30.28 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025 berbanding kerugian bersih sebanyak RM51.20 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan kumpulan bagi suku dalam tinjauan meningkat kepada RM883.65 juta daripada RM550.33 juta sebelumnya, terutamanya didorong oleh peningkatan pesanan sarung tangan yang berterusan berikutan pemulihan permintaan global.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan