KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka mengemukakan cadangan bagi menyemak semula levi fi daripada perantara, kepada Kementerian Kewangan (MoF) menjelang akhir Mac ini.
Pengerusi Eksekutif SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata perantara itu merujuk kepada entiti yang diberi lesen untuk menjalankan aktiviti dikawal selia membabitkan sekuriti, pengurusan dana serta nasihat pelaburan.
Beliau berkata sejak penubuhan SC pada 1993, fi terbabit tidak pernah disemak semula walaupun peranan serta tanggungjawab suruhanjaya itu telah bertambah.
Sehubungan itu, SC mencadangkan fi yang berkadar, adil dan saksama, berstruktur mengikut saiz selain mengikut kerumitan serta tahap aktiviti terbabit.
“Fi itu juga berbeza mengikut kelas (entiti). Sebagai contoh, jika anda seorang perunding unit amanah dengan bayaran adalah RM50, akan menyaksikan fi lebih RM50. Namun, SC mahu mengadakan perbincangan dan libat urus untuk melihat impaknya ke atas keuntungan anda (entiti) jika ini dilaksanakan.
“Kami tidak mahu satu kadar yang membebankan yang kemudiannya dilepaskan kepada pengguna. Bukan itu tujuannya...kami mahu entiti membayarnya, bukan pelanggan anda,” katanya pada sidang media bersempena Laporan Tahunan SC 2024 di sini, hari ini.
Mohammad Faiz juga menegaskan tujuan semakan semula fi itu adalah bagi menampung kos operasi dan bukannya meraih untung, sejajar dengan kedudukan SC sebagai entiti yang bukan meraih keuntungan.
Ditanya mengenai tarikh penguatkuasaan fi itu, beliau berkata ada kes tertentu yang berkemungkinan dilaksanakan lebih awal menerusi perjanjian bersama manakala yang lain memerlukan pindaan peraturan serta undang-undang sedia ada.
“Apa yang penting adalah kami telah mengetengahkannya. Mungkin perubahan ini dapat dilihat pada tahun depan,” katanya.
Mohammad Faiz berkata SC akan terus mempromosikan skim insentif Pejabat Keluarga di Forest City, Johor, dalam kalangan pelabur tempatan dan asing, termasuk mengadakan beberapa siri lawatan ke Timur Tengah, bermula dengan Oman pada tahun ini dan Arab Saudi pada 2026.
“Saya mahu mengadakan perbincangan dengan pemegang saham dan pengawal selia mereka bagi mengenal pasti halangan serta keterbukaan terhadap dana yang mahu melabur di sini,” katanya.
“Kami juga berhasrat untuk menemui beberapa penggiat utama dan sudah pasti memerlukan kehadiran (secara bersemuka) di sana,” katanya.
Mohammad Faiz berkata berbanding Singapura, Johor dilihat lebih memberi manfaat dari segi harga tanah dan tenaga kerja lebih murah selain lokasi bersesuaian seperti Forest City yang berhampiran dengan republik itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial