WILAYAH - SELATAN > BERITA

PJRM SALAM RAMADAN DI JOHOR CATAT JUMLAH JUALAN RM1.69 JUTA

20/03/2025 05:11 PM

JOHOR BAHRU, 20 Mac (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Salam Ramadan 2025 yang berlangsung di lapan lokasi terpilih di Johor bermula 22 Feb hingga 7 Mac lepas mencatatkan jumlah jualan mencecah RM1.69 juta.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata jualan tertinggi direkodkan di Tapak Pasar Khamis Kampung Sungai Tiram di sini iaitu RM386,345 dan merekodkan 2,015 pengunjung.

Beliau berkata jualan kedua tertinggi adalah di Tapak Lama Pasar Minggu Taman Anggerik, Bandar Tenggara di Kota Tinggi dengan jumlah jualan RM196,882, diikuti JDT Corner Big Screen Dataran Cenderawasih, Sungai Abong dekat Muar (RM190,802).

“Program ini secara keseluruhannya memanfaatkan 28,070 orang dari keseluruhan lokasi PJRM dianjurkan,” katanya pada sidang media selepas sesi Walkabout PJRM Aidilfitri di Dewan Muafakat Taman Nusa Damai, Pasir Gudang di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata PJRM Aidilfitri di Johor berlangsung di sembilan lokasi secara berperingkat bermula hari ini sehingga 29 Mac depan, dan lokasi pertama di Dewan Muafakat Taman Nusa Damai.

Beliau berkata jualan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang itu menawarkan 64 barangan keperluan asas termasuk ayam, santan, beras dan rempah-ratus dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga asal.

“Buat pertama kali PJRM turut menawarkan jualan daging segar berbanding daging sejuk beku di lokasi terpilih sempena Aidilfitri. Kebanyakan barang yang ditawarkan juga adalah barang yang dicari sempena perayaan, justeru kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai,” katanya.

PJRM seterusnya diadakan pada Sabtu di tempat letak kereta berhampiran Masjid Jamek Taman Perling di sini dan Laman Kampung Melayu di Kluang, sementara Pusat Perdagangan Parit Yaani, Batu Pahat pada (Ahad); Tapak Pasar Tani Bandar Segamat (25 Mac); Pekarangan Bangunan Koperasi Felda Tunggal, Kota Tinggi (27 Mac); Dewan Muafakat Bandar Baru Bukit Gambir, Tangkak (27 Mac); Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian (27 Mac) dan Tapak Parkir BS Taman Wawasan, Mersing pada 29 Mac.

Lilis Saslinda berkata PJRM kali ini turut memberi peluang kepada peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memperluas perniagaan mereka dengan penjualan produk seperti kuih-muih dan kerepek pada harga berpatutan.

Beliau berkata pelaksanaan PJRM Aidilfitri adalah inisiatif Kerajaan MADANI menerusi KPDN bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat untuk membeli keperluan asas pada harga lebih murah khususnya dalam membuat persiapan perayaan.

“Justeru, pelaksanaan program ini diharapkan dapat meringankan beban bangsa Johor khususnya untuk melakukan persediaan menyambut lebaran tidak lama lagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan