WILAYAH - TIMUR > BERITA

JPA SAMPAI BANTUAN MAKANAN MENERUSI PROGRAM SANTUNI MADANI

20/03/2025 07:01 PM

KOTA BHARU, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyampaikan bantuan makanan menerusi Program Santuni MADANI bagi keperluan berbuka puasa sepanjang Ramadan kepada 36 penerima bantuan e-Kasih di Kampung Telaga Ara, Gunong, Bachok.

JPA dalam kenyataan memaklumkan bantuan disampaikan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada persiapan Program Tautan Perdana 2025, yang akan berlangsung pada 19 April ini.

"Penerima bantuan terdiri daripada golongan asnaf yang berdaftar dalam sistem e-Kasih Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), iaitu mereka tergolong dalam kategori miskin dengan pendapatan per kapita isi rumah tidak melebihi RM532.

"Program Santuni MADANI bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui usaha advokasi dan pembangunan komuniti," menurut kenyataan itu. 

JPA memaklumkan sebanyak lapan skop utama sedang dirancang bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat iaitu pengurangan kemiskinan, advokasi pendidikan, peningkatan akses kesihatan, peluang pekerjaan dan pengangguran, keselamatan komuniti, pencegahan penyalahgunaan dadah, pembangunan infrastruktur serta kelestarian alam dan teknologi hijau.

"Usaha giat dijalankan bagi menaik taraf rangkaian telekomunikasi dan pemasangan lampu solar di kawasan yang telah dikenal pasti di Kampung Telaga Ara.

"JPA turut menzahirkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Jabatan Pendidikan Kelantan, Agensi Antidadah Kebangsaan Kelantan, Pejabat Tanah Jajahan Bachok dan badan bukan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Kerjasama berkenaan, menurut JPA adalah sejajar dengan matlamat Santuni MADANI yang menggalakkan pendekatan keseluruhan kerajaan bagi merealisasikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan memperkasakan kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan