WILAYAH - TENGAH > BERITA

WANITA BERDEPAN DETIK CEMAS RUMAH DISAMUN EMPAT LELAKI BERSENJATAKAN PISAU

21/03/2025 11:43 PM

KUANTAN, 21 Mac (Bernama) -- Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila rumahnya di Felda Chini Timur, Pekan, dimasuki empat lelaki berpelitup muka hitam dan bersenjatakan pisau, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian pada pukul 11.50 malam itu berlaku ketika wanita berusia 26 tahun terbabit sedang tidur di dalam bilik sebelum tersedar akibat bunyi barang jatuh.

Beliau berkata sejurus keluar dari bilik, mangsa terkejut melihat empat lelaki berkenaan dan menjerit sehingga salah seorang suspek bertindak mengacukan pisau di leher anak lelaki wanita itu yang berusia empat tahun dan sedang tidur di ruang tamu.

“Suspek kemudiannya mengarahkan wanita itu supaya diam dan menggeledah rumah berkenaan sebelum mengambil seutas rantai leher dan gelang tangan daripada ibu mertua mangsa yang berada di dalam bilik secara paksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain barang kemas berkenaan, suspek turut mengambil dua telefon bimbit sebelum melarikan diri melalui pintu dapur rumah dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM12,000.

Mohd Zaidi berkata mangsa memaklumkan bahawa semasa kejadian, suami dan bapa mertuanya tiada di rumah dan kediaman mereka tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Kesemua penghuni rumah berkenaan ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya sambil memaklumkan bahawa usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan