WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MATRADE SASAR TEROKA PASARAN SEDANG PESAT MEMBANGUN BAGI TINGKATKAN PERDAGANGAN NEGARA

23/03/2025 07:11 PM

KEPALA BATAS, 23 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk meneroka pasaran sedang pesat membangun untuk memperkukuh dan meningkatkan perdagangan negara tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Malaysia perlu mengambil langkah tersebut berikutan negara-negara seperti Afrika, Mesir, Libya dan Botswana yang bukan rakan dagang tradisional negara tetapi ekonominya semakin berkembang.

“Kira-kira 10 tahun lepas, jumlah penduduk Afrika seramai 800 juta orang dan kini, meningkat hampir kepada 1.4 bilion. Ia boleh menjadi ruang dan peluang untuk syarikat dan negara seperti Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 600 orang menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan sempena sambutan Aidilfitri.

Reezal Merican berkata dalam keadaan tekanan geopolitik dan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, penerokaan dalam pasaran tersebut dilihat amat penting untuk kelangsungan ekonomi negara.

Katanya selepas Dubai dan China, Malaysia sedang melihat potensi untuk meluaskan perdagangan ke negara-negara tersebut yang diharap dapat memberi pulangan kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, katanya Matrade akan menganjurkan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke luar negara buat kali kedua pada tahun ini selepas di Dubai pada tahun lepas.

Beliau berkata MIHAS 2025 akan diadakan di Shanghai, China dalam program ‘China International Import Expo’ (CIEE) pada November ini dan menyasarkan jualan meningkat berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan