WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS SIASAT DAKWAAN WANITA DITAMPAR PEMANDU KERETA

23/03/2025 05:18 PM

LABUAN, 23 Mac (Bernama) -- Polis sedang menyiasat insiden wanita ditampar seorang pemandu lelaki selepas berlaku pertengkaran di jalan raya berhampiran Pasar Raya Besar Bataras di Jalan Tun Mustapha di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata insiden membabitkan wanita berusia 28 tahun itu dipercayai berlaku pada 2 petang selepas keretanya hampir bertembung dengan kenderaan suspek yang berusia 40 tahun.

Lelaki itu dikatakan memandu secara melulu, menyebabkan wanita berkenaan terpaksa menekan brek secara mengejut untuk mengelakkan perlanggaran.

“Berikutan itu, berlaku pertengkaran dan suspek dikatakan menampar pipi kiri wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hamizi berkata kedua-duanya pergi ke balai polis pada hari kejadian tetapi tiada laporan dibuat.

Beliau berkata mereka kembali ke balai polis pada Sabtu untuk membuat laporan dan polis membuka dua kertas siasatan terhadap suspek, pertama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan yang kedua di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian yang telah tular itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan