KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi dan pihak terlibat segera turun padang membantu pengurusan pascabanjir bagi meringankan beban ditanggung mangsa dalam membersihkan kediaman khususnya menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata mengambil kira situasi banjir di Johor dan Sabah yang kini beransur pulih, Perdana Menteri berharap semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan sektor swasta, menggembleng tenaga membantu mempermudah kesulitan dihadapi mangsa terlibat.
“Hal ini ekoran bencana terbabit membawa kepada kerosakan harta benda, aset termasuk persiapan Aidilfitri yang telah disediakan sebelum ini,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.
Sementara itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memastikan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena dengan Aidilfitri yang akan berkuat kuasa pada 24 Mac hingga 7 April ini, terus dipatuhi semua pihak.
Beliau berkata perkara itu penting bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
Malah, beliau berkata penentuan harga itu dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain industri.
“Perdana Menteri sendiri akan turun padang mengadakan tinjauan harga barangan terkawal terkait dengan SHMMP, lantas melihat sendiri situasi di bawah supaya peraturan dilaksanakan termasuk meletakkan tanda harga bagi barang kawalan selain pengguna juga dapat menikmati harga berpatutan pada musim perayaan,” katanya.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri juga mengarahkan KPDN agar terus bekerjasama dengan KPKM dalam hal itu, selain kedua-dua kementerian diarah menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjamin bekalan barangan untuk keperluan rakyat sepanjang musim perayaan sentiasa mencukupi.
Beliau berkata pengguna juga dinasihatkan untuk terus membuat laporan kepada KPDN sekiranya terdapat sebarang permasalahan berkaitan harga barangan sepanjang musim perayaan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial