KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap agama Islam menerusi akaun Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki itu ditahan sepasukan polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di sebuah rumah di Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada 2.30 petang hari ini.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit disyaki digunakan untuk memuat naik hantaran itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya kepada Bernama hari ini.
Pada Jumaat lepas, Razarudin berkata polis menyiasat seorang pemilik akaun Facebook selepas disyaki mengeluarkan kenyataan menghina Islam, dengan laporan polis diterima di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.
Terdahulu, tular menerusi laman media sosial mengenai hantaran mengandungi kenyataan kontroversi mencabar askar dan umat Islam di Malaysia ke Gaza, selain menyindir kecaman diberikan terhadap Israel sebagai tidak bermakna.
Kenyataan itu menimbulkan reaksi pelbagai pihak kerana dianggap menyentuh sensitiviti agama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial