WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANGSA BANJIR DIINGATKAN BERHATI-HATI 'SCAMMER' MENYAMAR PEMBERI BANTUAN

24/03/2025 06:43 PM

SIBU, 24 Mac (Bernama) -- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Katibas, Sarawak  yang terkesan akibat banjir baru-baru ini dinasihati lebih berwaspada terhadap pihak tidak dikenali yang menawarkan bantuan kepada mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata ini bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa scammer yang mengambil kesempatan dalam situasi sukar ini.

"Jaga keselamatan diri ketika kita sedang menghadapi kesukaran akibat banjir tempoh hari. Dikhuatiri ada pihak yang mengambil kesempatan daripada kesukaran yang sedang kita hadapi ketika ini," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Penduduk perlu berhati-hati sekiranya ada pihak tertentu datang untuk menawarkan bantuan dan meminta kad pengenalan mereka.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pihak yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Katibas agar berhubung terus dengan jawatankuasa yang bertanggungjawab.

Daerah Song yang terletak dalam kawasan DUN Katibas mencatat jumlah mangsa banjir tertinggi, menyaksikan seramai 379 orang daripada 104 keluarga terjejas.

Mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Song dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 5 petang semalam setelah banjir di daerah itu pulih sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan