WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM HARGAI PETUGAS BARISAN HADAPAN, SALUR SUMBANGAN AIDILFITRI KEPADA WARGA IPD PUTRAJAYA

24/03/2025 10:21 PM

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaannya terhadap petugas barisan hadapan yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini dengan menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada 250 anggota di IPD berkenaan.

Sumbangan sebanyak RM50,000 itu diserahkan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, sebagai tanda penghargaan Perdana Menteri kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menjaga keamanan dan keselamatan tanpa mengira waktu.

“Saya fikir antara yang membuatkan Perdana Menteri setuju untuk beri sumbangan ini, kerana menghargai jasa dan sumbangan kepada petugas barisan hadapan ini.

“Hari ini sumbangan sebanyak RM50,000 yang merupakan peruntukan khas Perdana Menteri yang akan diagihkan kepada 250 penerima,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu pada Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Kasih MADANI Aidilfitri, di IPD Putrajaya hari ini.

Berkongsi pesanan Perdana Menteri kepada warga IPD Putrajaya, Muhammad Kamil berkata Anwar berkata jasa dan sumbangan petugas barisan amat bermakna kerana mengutamakan tugas tanpa mengenal erti penat serta lelah.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa terutamanya PDRM telah menjalankan tugas dengan baik dalam membasmi hal-hal berkaitan jenayah dan mengelakkan daripada perkara-perkara yang lebih buruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata sumbangan yang dihulurkan 250 warga IPD Putrajaya itu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka dalam membuat persediaan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya ucap terima kasih kepada atas sumbangan yang diberikan, yang mana sangat memberi makna dan dapat meringankan beban penerima yang kebanyakkannya sudah bekeluarga,” katanya.

Aidi Sham berharap majlis iftar itu akan menjadi jambatan penghubung silaturahim antara warga IPD Putrajaya dan warga Pejabat Perdana Menteri.

“Kami berbangga kerana terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada program yang murni ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan