WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBINAAN MASJID DI JALAN MASJID INDIA DITERUSKAN - PM ANWAR

25/03/2025 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata majlis pecah tanah bagi pembinaan masjid di Jalan Masjid India akan diteruskan.

Berucap pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), beliau berkata ia akan dijalankan seperti dirancang Khamis ini walaupun terdapat pandangan berbeza daripada beberapa pihak ketika ini.

“Kawasan-kawasan amalan di situ, masjid-masjid berdekatan, sesak. Perlu ada tempat baharu. Jadi, sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas di masjid pada 27 hari bulan (Mac) ini.

“Saya minta jawatankuasa kuil sepertimana mereka lakukan, runding dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia adalah sebuah negara tertakluk kepada undang-undang, namun demi menjaga hubungan dan keharmonian antara kaum maka rundingan secara baik berhubung pemindahan kuil berkenaan tetap dilaksanakan.

Beliau juga berkata tidak timbul isu untuk merobohkan kuil tersebut meskipun dibangunkan di tempat tidak sepatutnya.

Mengambil beberapa contoh, Anwar berkata terdapat masjid di Lahad Datu, Sabah dan di Sentul, Kuala Lumpur yang pernah dirobohkan kerana dibina tidak mengikut peraturan.

"...yang saya ambil sikap begini kerana saya ambil pendekatan yang sangat sabar. Saya minta supaya selesai dengan baik. 

"Walaupun dia salah, tempatnya salah, kita kata, angkat baik-baik, pindah. Syarikat beri sedikit ganti rugi, saya tak tahu ganti rugi bersebab apa, kemudian diberikan tempat baharu dengan ihsan Dewan Bandaraya (Kuala Lumpur). Jawatankuasa setuju runding tapi ada penghasut-penghasut lain, entah dari mana dengan bicaranya yang melampau.

"...yang kelompok Islam yang ekstrem maki saya kerana dia kata saya ini tunduk kepada kumpulan (agama) Hindu, yang kelompok Hindu yang melampau pula kata saya ini nak Islamkan semua, apatah lagi masjid itu nak dinamakan Masjid MADANI," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak menggunakan agama Islam sebagai agama Persekutuan untuk menekan mana-mana pihak, dan sesiapa jua, sama ada kumpulan majoriti atau minoriti adalah tertakluk kepada hukum dan undang-undang.

“Kita tidak boleh ada bentuk tirani pihak majoriti, sama juga kita tidak boleh terima tirani kelompok minoriti. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai MADANI ini," katanya.

Turut hadir pada sambutan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Khamis lepas, media melaporkan proses perbincangan mengenai perpindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di atas tanah milik Jakel Group berjalan dengan harmoni di antara pihak syarikat, pengurusan kuil dan DBKL.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan