BERITA TERGEMPAR | Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 rakam ucapan takziah kepada Myanmar, Thailand dan rakyatnya susulan gempa bumi yang melanda rantau ini pada Jumaat | Malaysia as ASEAN Chair 2025 extends deepest condolences to Myanmar, Thailand and their people following the deadly quake that hit the region on Friday | |
Daripada Karina Imran
PERTH, 27 Mac (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasarkan untuk menambah penerbangan jarak jauh terutama daripada syarikat penerbangan Eropah berikutan usaha Malaysia untuk memperkukuh kesalinghubungan global.
Pengurus Besar Kanan Strategi MAHB Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata Routes World 2025 di Hong Kong akan menyediakan peluang penting bagi MAHB untuk mengadakan libat urus dengan syarikat penerbangan Eropah serta syarikat penerbangan dari Afrika Utara dan Timur Tengah.
"Oleh itu, akan terdapat banyak pertemuan satu dengan satu dan pertemuan strategik dengan syarikat penerbangan Eropah. Kami mempunyai sasaran yang agak besar dan sedang mengusahakan lebih 12 syarikat penerbangan (untuk beroperasi di negara ini) tahun ini," katanya pada Routes Asia 2025 di sini.
Megat Ardian turut menekankan strategi pendekatan dua hala untuk menarik syarikat penerbangan baharu dan pada masa sama mengukuhkan hubungan dengan syarikat penerbangan sedia ada.
“Kami bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan, laluan baharu dan kemungkinan untuk menambah kapasiti pesawat, daripada pesawat kecil kepada pesawat besar.
“Kami juga mempunyai program insentif yang mantap untuk mereka apabila menambah laluan dan kekerapan penerbangan baharu,” katanya.
Sementara itu, Megat Ardian berkata Routes Asia 2025 menutup tirai dengan hasil positif untuk Malaysia memandangkan negara terus mengukuhkan kesalinghubungan udara di rantau Asia Pasifik dan di luarnya.
Menurutnya program berkenaan membuahkan hasil, melahirkan perbincangan yang bermanfaat mengenai laluan baharu, peningkatan kekerapan dan naik taraf pesawat berikutan mesyuarat strategik dengan 18 syarikat penerbangan yang disasarkan.
Beliau berkata walaupun program berkenaan lebih kecil berbanding World Routes, ia adalah berfokus berikutan pertemuan dengan banyak syarikat penerbangan Asia Pasifik, subbenua India dan syarikat penerbangan Asia dari China, Korea, Jepun serta syarikat penerbangan di ASEAN
“Lebih banyak fokus dan perbincangan mengenai laluan (sedia ada) serta laluan berpotensi dan peningkatan kapasiti.
“Sehubungan itu, 18 syarikat penerbangan ini adalah berita yang positif. Kami memaklumkan mengenai sambungan penerbangan dan waktu slot yang sesuai untuk mereka sertai serta pasaran pemindahan berpotensi,” katanya.
Routes Asia 2025 adalah acara penerbangan utama yang menghimpunkan lebih 110 syarikat penerbangan dan 160 lapangan terbang daripada komuniti pembangunan laluan Asia Pasifik.
Diadakan bermula 25 hingga 27 Mac 2025 di Pusat Konvensyen dan Pameran Perth, acara ini menarik penyertaan lebih 900 perwakilan termasuk wakil lapangan terbang, syarikat penerbangan, pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkepentingan utama dalam sektor penerbangan.
Routes Asia 2025 berfungsi sebagai platform penting bagi pembuat keputusan untuk terlibat melalui lebih 3,000 mesyuarat secara bersemuka, bertukar-tukar amalan terbaik dan meneroka peluang perkhidmatan udara baharu.
Ia turut membawakan sesi persidangan yang dikendalikan oleh pakar antarabangsa dalam penerbangan dan pelancongan.
Lapangan Terbang Perth dan Tourism Western Australia (Tourism WA) secara rasminya menyerahkan tugas menganjurkan acara Routes Asia kepada China West Airport Group yang akan menjadi tuan rumah Routes Asia 2026 di Xi’an, China pada Mac 2026.
Routes Asia 2026 akan dihoskan oleh China West Airport Group dan Lapangan Terbang Antarabangsa Xi'an Xianyang di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Xi'an.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial