KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dipercayai menipu wang orang ramai sebanyak RM10 juta dengan alasan untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes pengubahan wang haram.
Sumber PDRM berkata lelaki berusia 59 tahun itu ditahan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman sebaik tiba di kediamannya di Jalan U-Thant, di sini petang tadi selepas pulang dari Osaka, Jepun.
“Suspek setakat ini sudah mengambil wang daripada mangsa kira-kira RM10 juta yang sebelum itu beliau dikatakan meminta RM25 juta dengan mendakwa mempunyai kenalan rapat dengan polis dan boleh menyelesaikan kes dihadapi mereka.
“Malah suspek menjelaskan kononnya wang diambil itu akan diserahkan kepada polis bagi membantu mangsa supaya tidak dikenakan tindakan atau disiasat membabitkan kes AMLA,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sumber memaklumkan, bagaimanapun kegiatan suspek sudah dihidu oleh pasukan AMLA Bukit Aman yang kemudiannya menjalankan risikan dan siasatan sebelum menahan lelaki itu petang tadi.
“Suspek yang juga merupakan tokoh berpengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan industri minyak dan gas serta merupakan pengerusi kepada sebuah syarikat itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapat perintah tahanan reman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa satu sidang media berkaitan kes itu akan diadakan dalam masa terdekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial