WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA HADIAH SYAWAL BERMAKNA BUAT BEKAS WARTAWAN

17/04/2025 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA disifatkan sebagai hadiah Syawal amat bermakna buat bekas wartawan Media Prima, Mazlin Nordin, 58, yang mengakui bantuan itu menyuntik semangat baharu dalam dirinya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Mazlin, yang berasal dari Klang, Selangor, menzahirkan rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima sumbangan pada majlis sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi 2025 di pekarangan Auditorium Seri Angkasa hari ini.

“Alhamdulillah, HAWANA memilih saya sebagai antara penerima… ini bukan sekadar bantuan tetapi juga menaikkan semangat saya untuk membantu orang lain,” katanya kepada Bernama. 

Terdahulu, enam pengamal media menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bagi membantu meringankan cabaran hidup mereka terutama daripada segi kewangan dan kesihatan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang agensi berita itu, Arul Rajoo Durar Raj.

Mazlin, yang pernah terlibat dalam program kebajikan Bersamamu terbitan TV3, banyak menyumbang dalam membantu masyarakat menerusi kerjasama dengan rakan-rakan dan badan bukan kerajaan.

Beliau kini berdepan cabaran kesihatan termasuk penyakit kencing manis dan jantung selain baru sahaja menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara pada 25 Mac lepas.

Selain Mazlin, lima lagi pengamal media menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini iaitu bekas wartawan Media Prima Aidil Abdul Ghaffar, 57, bekas wartawan Karangkraf Zailani Ahmad, 60, bekas wartawan The Vibes Mohd Shahrim Mohd Tampin, 50, wartawan penyiaran Malaysia Gazette Nurayuni Johari, 33, dan penerbit teknik Bernama Noor Azizi Abdul Kasim, 54.

Bagi Noor Azizi, yang masih berkhidmat di BERNAMA TV, sumbangan itu akan digunakan untuk menampung sebahagian kos rawatan kesihatan yang ditanggung keluarganya. 

“Saya baru sahaja balik dari hospital kerana sebelum ini saya ada sejarah strok, masalah jantung dan kencing manis,” katanya yang masih perlu menjalani rawatan susulan.

Tabung Kasih@HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Bernama bagi menyantuni para wartawan dan pengamal media yang masih berkhidmat atau telah bersara, khususnya mereka yang uzur atau berdepan kesulitan kewangan, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam dunia kewartawanan.

Inisiatif itu, yang dilancarkan pada April 2023, telah memanfaatkan 366 pengamal media di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan