KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (PVRTM) dicadang supaya menjadikan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) sebagai platform perkongsian pengalaman dan kemahiran ahlinya bersama pengamal media baharu.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan dan pengalaman luas pengamal media veteran itu amat diperlukan bukan sahaja sebagai rujukan, tetapi juga panduan dalam melahirkan bakat baharu dalam industri media seperti wartawan, pengacara dan pembaca berita yang berkualiti.
“Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan tidak harus berakhir dengan persaraan daripada perkhidmatan, malah sepatutnya menjadi permulaan kepada peranan yang lebih besar dalam menyemai nilai tanggungjawab sosial dan integriti dalam sektor komunikasi.
“Jadi saya akan bawakan cadangan ini dalam mesyuarat pasca Kabinet (mesyuarat Jemaah Menteri) Kementerian Komunikasi minggu hadapan. Insya-Allah disediakan platform itu dan juga sedikit imbuhan atau elaun,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Aidilfitri PVRTM di Angkasapuri di sini hari ini.
Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin selaku Penaung Diraja PVRTM.
Hadir sama Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Presiden PVRTM Zohara Gany Mhd Bathusha, Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pa'Wan Teh dan tokoh penyiaran negara Tan Sri Ahmad Othman Merican.
Pada majlis itu Fahmi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 daripada Kementerian Komunikasi kepada PVRTM, sebagai sokongan kepada usaha persatuan menjaga kebajikan ahlinya serta menggerakkan pelbagai inisiatif demi memartabatkan warisan penyiaran negara.
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu badan atau yayasan yang menggabungkan tenaga, kepakaran dan pengalaman veteran RTM bersama petugas sedia ada sebagai usaha memperkasa sektor penyiaran di RTM selain memastikan kesinambungan nilai serta standard yang dibina agensi berita itu sejak sekian lama.
“Saya juga mengajak semua ahli PVRTM untuk menggunakan platform dan pengaruh yang ada dalam kumpulan WhatsApp masing-masing misalnya, untuk menjadi ejen penyampaian maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.
“Dalam era digital yang semakin mencabar ini, bantu kita sampaikan pesanan ‘tidak pasti jangan kongsi’,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial