WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA LELAKI DITAHAN TIPU BAYARAN GUNA RESIT DIGITAL PALSU

21/04/2025 08:37 PM

SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat menipu bayaran membabitkan penggunaan resit digital palsu di sebuah restoran di Seksyen 13, di sini 14 April lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata suspek warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan pada 2.50 pagi tadi di sekitar Shah Alam.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang peniaga wanita berusia 35 tahun yang merupakan mangsa dalam kes itu, semalam.

Mohd Iqbal berkata mangsa memaklumkan kejadian berkenaan berlaku pada 10.18 malam apabila suspek menunjukkan resit transaksi digital berjumlah RM304.50 sebagai bukti pembayaran kepada makanan yang dipesan.

"Namun selepas semakan dibuat oleh wanita itu, tiada wang dimasukkan ke dalam akaun perniagaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata mangsa juga mendakwa suspek telah melakukan jenayah sama sebelum ini menyebabkan kerugian bagi kedua-dua kes berjumlah RM348.10.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai juruaudit sebuah syarikat di Paka, Terengganu dan bekerja sendiri.

“Siasatan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau manakala suspek kedua turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya dan memaklumkan mereka ditahan reman empat hari hingga 24 April untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Beliau turut menasihatkan peniaga agar sentiasa berwaspada terhadap resit pembayaran digital yang diserahkan pelanggan secara manual atau tangkap layar dengan setiap transaksi hendaklah disemak terus menerusi sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan.

Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung satu kejadian penipuan bayaran menggunakan resit digital membabitkan bil berjumlah RM300 di sebuah restoran dipercayai di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan