WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SYARIKAT JEPUN MINAT BERKEMBANG DALAM PELBAGAI SEKTOR DI MALAYSIA

05/05/2025 05:18 PM

Oleh Christine Lim

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Banyak syarikat Jepun sedang mencari peluang untuk berkembang dalam industri penyahkarbonan, penjagaan kesihatan, inovasi dan perkhidmatan di Malaysia.

Pengarah Urusan Pertubuhan  Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Koichi Takano berkata beberapa syarikat telah membuat komitmen yang kukuh untuk melabur selama dua tahun, bermula dari tahun ini.

"Ini termasuk penubuhan perkhidmatan kejuruteraan serta operasi dalam sektor minyak dan gas, semikonduktor dan bioteknologi," katanya kepada Bernama.

Beliau ketika bercakap mengenai sektor penyahkarbonan berkata momentum mengenai bidang itu dijangka akan datang daripada Sidang Kemuncak Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC), yang dihoskan oleh Jepun dan Malaysia, di Kuala Lumpur pada tahun ini.

Syarikat-syarikat utama Jepun yang telah mengambil bahagian dalam penyahkarbonan di Malaysia terdiri daripada Mitsui & Co dan lain-lain yang terlibat dalam projek-projek seperti kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta hidrogen.

"Indeks penyebaran sentimen perniagaan syarikat-syarikat Jepun semakin pulih. Ini dilihat sebagai tanda kepercayaan dan jangkaan ekonomi Malaysia yang teguh," kata Takano.

Bagaimanapun, langkah-langkah tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat telah meningkatkan ketidakpastian dalam ekonomi global, menjadikan persekitaran semasa sukar diramalkan. 

"Pada masa kegawatan global yang hebat ini, jangkaan untuk kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN sedang meninggi. 

"Malaysia telah menunjukkan kepimpinannya mengenai isu tarif dengan mengadakan perbincangan di dalam ASEAN. Kami berharap untuk meneruskan kepimpinan Malaysia ke arah kestabilan dan pertumbuhan di rantau ASEAN," katanya.

Menurut Takano, Jepun telah menjadi salah satu pelabur utama Malaysia dan ia dijangka akan melabur lebih banyak di negara ini pada 2025.

Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Jepun merupakan pelabur langsung asing keempat terbesar di Malaysia pada suku keempat 2024 dengan pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM102.02 bilion berbanding RM94.18 bilion yang disaksikan semasa suku keempat 2023, dan ini diunjurkan melonjak kepada -4.5 mata pada tahun ini.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Jetro serta Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Malaysia (Jactim) memperlihatkan prospek yang tidak menentu berikutan tekanan kos seperti kenaikan gaji minimum, peningkatan cukai dan pengurangan subsidi.

Tinjauan tersebut turut mendedahkan pembuatan bernilai tinggi dan penyahkarbonan sebagai sektor pertumbuhan tertinggi. 

Kaji selidik itu melibatkan dua ratus syarikat, ia dibuat mulai 22 Jan hingga 21 Feb 2025.

Tinjauan itu juga menonjolkan bahawa sektor bukan pembuatan menghadapi permintaan yang tinggi untuk bakat teknologi canggih.

"Selain itu, terdapat permintaan yang kukuh bagi maklumat yang lebih jelas dalam pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengembangan insentif cukai termasuk pemberitahuan awal yang menyeluruh apabila perubahan pengawalseliaan berlaku,," katanya lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan