WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA MAUT, LIMA CEDERA DALAM KEMALANGAN DI KOTA TINGGI

26/10/2025 06:22 PM

KOTA TINGGI, 26 Okt (Bernama) -- Dua lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 18, Jalan Mawai-Kuala Sedili, di sini tengah hari tadi. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pemandu Proton Waja dan Perodua Alza, masing-masing berusia 71 dan 29 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. 

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Alza.

"Lima penumpang warga tempatan pula cedera parah dan dirawat di Hospital Kota Tinggi, " katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 1.15 tengah hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bomba dalam kenyataan memaklumkan sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar digegaskan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I Faizal Ahmad berkata pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas serta membantu petugas Kementerian Kesihatan memberikan rawatan awal sehingga selesai dengan operasi tamat sepenuhnya pada 2.43 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan