KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun kerugian lebih RM330,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi satu laman sesawang, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku pada 16 Sept lepas ketika mangsa sedang bekerja dan terlihat satu iklan tawaran pelaburan di laman Facebook yang mempromosikan pelaburan itu.
“Mangsa telah mendaftar satu akaun pelaburan dalam laman sesawang berkenaan, seterusnya membuat pembayaran ke enam akaun bank syarikat secara berperingkat membabitkan 26 transaksi secara dalam talian.
“Mangsa menyedari tertipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam akaun pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Alexson berkata mangsa kerugian keseluruhan RM333,576 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata siasatan mendapati modus operandi seumpama itu semakin berleluasa dengan 101 kes dilaporkan di daerah Kuching dari 1 Jan hingga 12 Nov, melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM23.31 juta.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial