WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: GRS UMUM EMPAT LAGI CALON

13/11/2025 03:27 PM

TUARAN, 13 Nov (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan empat lagi calon bakal bertanding mewakili gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sekali gus melengkapkan senarai 55 calon.

Empat calon itu ialah penyandang DUN Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg Amir, Ketua Bahagian Parti Harapan Rakyat Sabah Kukusan Samsiah Usman (DUN Kukusan), bekas Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Bonaventure Bonaface (DUN Tamparuli) dan Setiausaha Pemuda GRS pusat Rafie Robert bagi DUN Bingkor.

Pengumuman dibuat Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Penutupan Hari Sukan dan Sambutan Hari Keluarga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.

Berucap pada majlis itu, beliau berkata memilih calon untuk bertanding mewakili GRS adalah antara cabaran paling besar menjelang PRN17 memandangkan semua nama-nama diserahkan kepadanya  mempunyai sumbangan, pengaruh dan penyokong pada peringkat akar umbi.

Hajiji berkata beliau perlu membuat keputusan terbaik dengan memilih seorang sahaja calon yang dilihat mampu memberi kemenangan kepada gabungan parti itu pada pilihan raya berkenaan.

"Di sinilah cabaran timbul kepada saya kerana semua penyokong, pemimpin kita yang telah menyumbang kepada kebaikan parti dan GRS. Tentu ada yang tidak puas hati, tetapi sebagai pemimpin kita mesti mempunyai sifat tolak ansur dan pengorbanan terutama dalam saat kita menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata misi lebih penting ketika ini adalah untuk memenangkan GRS bagi membolehkan gabungan parti itu membentuk kerajaan Sabah sekali gus meneruskan dasar dan hala tuju yang telah diperkenalkan sepanjang lima tahun menerajui negeri itu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji yakin semua calon GRS mampu menyumbang kemenangan kepada parti berdasarkan bakat, pengalaman dan latar belakang yang pelbagai.

Beliau turut menggesa mereka yang tidak dipilih supaya bersama jentera GRS membantu calon di semua kawasan bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya itu.

Semalam, Hajiji mengumumkan 51 daripada 55 calon yang akan bertanding pada PRN ke-17 dengan menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan calon muka baharu.

SPR menetapkan hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempunyai 73 kerusi DUN pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan