KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Disiplin fiskal dan pengurusan ekonomi negara yang teratur mendorong ringgit mencatatkan prestasi terbaik di seluruh Asia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar AS amat menyakinkan, yang meningkat sebanyak 8.2 peratus sehingga 14 November lepas.
“Jika dari segi domestik, tentunya kerana dasar yang dilaksanakan dari awal, iaitu penyasaran subsidi (apabila) penggunaan dana untuk memberikan subsidi tidak memberikan faedah langsung kepada rakyat. Itu kita telah hentikan.
“Penyasaran subsidi seperti RON95 memberi kesan yang amat positif kepada ringgit,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai punca utama yang mendorong pengukuhan nilai ringgit dan bagaimana kenaikan ringgit ini dapat membantu pembangunan ekonomi secara keseluruhan khususnya kepada manfaat rakyat.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan dalam pembangunan negara adalah langkah yang tepat dan wajar.
“Korea Selatan dan beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom turut mengambil langkah yang sama. Ini bermakna keputusan kita adalah wajar dan tidak bertentangan walaupun ada beberapa ahli ekonomi kita yang mempertikainya (keputusan),” kata beliau.
Beliau berkata keyakinan yang meningkat terhadap prestasi mata wang negara turut memperkukuh sektor perkhidmatan.
“Hasilnya, akaun perkhidmatan mencatat lebihan RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, lebihan pertama dicapai dalam tempoh 14 tahun,” kata beliau.
Beliau menjelaskan pencapaian ini turut didorong oleh strategi ekonomi MADANI, transformasi digital melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), agenda peralihan tenaga, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan sektor berimpak tinggi seperti pusat data.
Anwar berkata perkembangan pusat data yang pesat telah memberi faedah kepada ekonomi negara walaupun pembangunannya memerlukan import awal yang besar dan akhirnya menjana eksport perkhidmatan yang tinggi apabila beroperasi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan prestasi keseluruhan sektor perkhidmatan.
“Hasil eksport perkhidmatan daripada pembangunan pusat data menunjukkan prestasi yang amat baik,” kata beliau.
Bagaimanapun, katanya terdapat kebimbangan bahawa pengukuhan ringgit belum diterjemahkan kepada penurunan harga barangan sepenuhnya terutamanya dalam sektor ternakan yang bergantung pada makanan haiwan yang diimport.
“Kos sepatutnya menurun (kerana) inflasi kita rendah tetapi pengurangan harga tidak begitu ketara,” kata beliau.
Bagi menangani kos sara hidup rakyat, Anwar berkata kerajaan melaksanakan dua pendekatan utama, iaitu penguatkuasaan yang lebih tegas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau berkata langkah ini untuk memastikan syarikat yang mengimport barangan termasuk ubat-ubatan dan kelengkapan hospital menurunkan harga selaras dengan kos import yang semakin rendah.
“Jika mereka mengimportnya sekarang, kosnya lebih rendah. Oleh itu, penurunan harga tidak boleh dielakkan.
“Langkah kedua melibatkan peluasan program Jualan Rahmah dan pengukuhan rangkaian kedai runcit yang menawarkan harga lebih rendah untuk memastikan rakyat menerima manfaat segera daripada kestabilan harga,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial