WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AI TIDAK MAMPU GANTI HIKMAH IHSAN DALAM SEKTOR PERAKAUNAN - FADILLAH

20/11/2025 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Profesion perakaunan tidak boleh sesekali tunduk kepada automasi semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh dengan integriti, hikmah dan pertimbangan moral manusia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.  

Beliau berkata walaupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), blok rantai dan data raya kini mampu menjana laporan kewangan, mengesan transaksi meragukan serta mentafsir data dengan ketepatan tinggi, asas profesion itu tetap bertunjangkan nilai kemanusiaan.  

Menurut beliau, teknologi hanyalah alat manakala manfaatnya bergantung kepada integriti, niat dan kebijaksanaan akauntan yang memikul amanah memastikan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap laporan.  

“Secanggih mana pun AI, ia tidak mampu menggantikan hikmah insan, kejujuran, pertimbangan, nilai moral dan kebijaksanaan akauntan profesional. Akauntan yang menguasai teknologi tanpa mengabaikan integriti akan kekal relevan dan menjadi aset utama negara.

“Profesion ini bukan hanya mengurus angka, tetapi membentuk keyakinan, kestabilan dan kepercayaan dalam masyarakat dan negara,” katanya pada majlis perasmian Konvensyen Akauntan Nasional 4.0 (KAN 4.0) di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Akauntan Bertauliah Melayu (AMCAF) Mohd Nasri Ismail.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata landskap perakaunan kini berubah pesat, menjadikan peranan akauntan lebih strategik apabila mereka bukan lagi penyimpan rekod semata-mata, sebaliknya pengemudi keputusan kritikal organisasi.  

Beliau berkata profesion itu perlu diperkasakan agar mampu berdepan risiko global, ketidaktentuan ekonomi dan transformasi teknologi yang semakin kompleks.  

Fadillah turut menekankan bahawa penilaian kejayaan organisasi pada masa kini tidak hanya berpaksikan keuntungan, tetapi meliputi impak terhadap masyarakat dan alam sekitar melalui pematuhan Environmental, Social and Governance (ESG).  

Sehubungan itu, beliau berkata akauntan memainkan peranan penting sebagai penjaga nilai dalam memastikan pelaporan dan pemantauan ESG dilakukan secara telus dan konsisten sejajar aspirasi Malaysia MADANI.  

“Dengan integriti dan kesungguhan, kebaikan yang kita bina melalui ESG akan terus menumbuhkan kemakmuran negara. Profesion perakaunan yang kukuh akan menyumbang kepada sebuah negara yang stabil dan berdaya saing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan