JOHOR BAHRU, 22 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 4,634 saman bernilai RM1.39 juta menerusi OPS Penguatkuasaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura sejak 1 Julai sehingga Khamis lepas.
JPJ menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 65,039 kenderaan Singapura diperiksa dalam tempoh itu di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar bandar raya berkenaan.
“Jumlah saman yang dikeluarkan meliputi pemilik atau pemandu kenderaan persendirian individu dan kenderaan persendirian syarikat yang dikesan tidak mendaftar VEP atau VEP tamat tempoh serta kenderaan masih berstatus pradaftar.
“Bagi kenderaan berkenaan, tindakan saman akan dibuat dan wajib membayar saman serta perlu mendaftar VEP sebelum keluar dari Malaysia, ia selaras Seksyen 66J Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” menurut kenyataan itu.
Pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300.
Dalam pada itu, JPJ memaklumkan sebanyak 345,238 tag RFID telah dikeluarkan sejak Khamis lepas, dengan status pemasangan tag yang aktif melibatkan 292,692 kenderaan persendirian individu manakala 16,404 kenderaan belum aktif.
Sebanyak 28,344 tag RFID aktif pula melibatkan kenderaan persendirian syarikat manakala 7,798 tag lagi tidak aktif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial