KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Selama bertahun-tahun, figura ini berkempen seperti biasa di darat, menjelajah daripada satu kawasan ke kawasan lain dengan kenderaan yang dipenuhi poster dan sukarelawan.
Namun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kali ini, semuanya ‘terasa berbeza’ bagi calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin.
Ini adalah kerana ada waktunya Chan yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi perlu menaiki sebuah bot kecil menyeberangi laut menuju ke Pulau Gaya yang terletak hanya 10 minit perjalanan menggunakan bot dari pusat bandar.
Dengan jarak seperti itu, terasa pulau itu cukup dekat sehingga bangunan pencakar langit di bandar boleh dilihat dari pesisir pantai namun realitinya, kehidupan penduduk di situ masih terasa ‘jauh’ kerana ketinggalan dengan pembangunan selama berdekad.
“Kawasan DUN Tanjung Aru ini unik. Ada pusat membeli-belah terbesar dan tercanggih di Kota Kinabalu dan hotel- hotel terkemuka.
“Sesetengah tempat infrastrukturnya baik tetapi hanya di bahagian tertentu, ia sangat mencerminkan isu kemiskinan bandar terutama di kampung-kampung,” katanya kepada Bernama pada program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Komuniti Pulau Gaya baru-baru ini.
Chan mengambil contoh Kampung Torong Logong, antara lima kampung yang ada di pulau itu berkata tanpa rangkaian jalan raya dan perkhidmatan asas seperti klinik kesihatan, bekalan elektrik, air bersih serta jaringan Internet yang stabil, banyak penduduk bergelut dengan urusan harian kerana perlu berulang-alik setiap hari dengan bot ke tanah besar.
Selain di Pulau Gaya, DUN Tanjung Aru turut mempunyai dua lagi kampung di pekan Tanjung Aru dan tiga di kawasan Sembulan.
“Disebabkan terdapat jurang pembangunan maka sudah tentu kawasan-kawasan ini memerlukan lebih perhatian. Sebab itu sejak awal bulan ini, sudah empat kali saya datang ke sini (Pulau Gaya). Pelbagai program sudah dilakukan tetapi ia bukan semata-semata untuk mendekati pengundi.
“Bagi saya, ia juga pengalaman yang ‘menyegarkan’ kerana sepanjang pembabitan dalam politik bermula 2008, saya banyak berkempen di kawasan bandar saja,” katanya.
Chan berkata di pulau itu, visinya bukan tertumpu kepada pembangunan asas sahaja. Beliau juga mahu penduduk melaksanakan ekonomi kitaran seperti mengumpul semula minyak terpakai (UCO) yang boleh mendatangkan pendapatan tambahan kepada isi rumah.
“UCO ini harganya antara RM2 ke RM2.50 sekilo namun Sabah hanya mengumpul sekitar 5,200 tan UCO pada 2024, iaitu tidak sampai 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan UCO Malaysia, iaitu 380,000 tan.
“Jadi, ini adalah langkah strategik untuk membantu penduduk, selain dapat memastikan masa depan industri sawit dan bio bahan api negara terus mampan serta berdaya saing,” katanya.
Di sebalik keinginan untuk membawa perubahan ekonomi itu, beliau turut mengakui penduduk ‘dihimpit’ pelbagai isu pembangunan termasuk keadaan sekolah yang daif kerana masih beroperasi di atas laut menggunakan bangunan kayu, sekali gus terdedah kepada hakisan, ombak kuat dan risiko keruntuhan.
Dua sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya.
“Pendidikan adalah perkara asas. Kita mesti pastikan anak-anak belajar di tempat yang selamat dan stabil. Sebab itu, saya ingin memaklumkan kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM260 juta bagi membina sebuah kompleks pendidikan baharu di kawasan daratan untuk menggantikan sekolah berkenaan,” katanya.
Pada awal bulan ini, Chan sudah melakukan lawatan tapak bagi meneliti sendiri kawasan pembangunan itu bersama Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
“Kompleks dicadangkan ini masing-masing dilengkapi 36 bilik darjah, dewan besar, padang sukan serta pelbagai kemudahan sokongan lain bagi memberi persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat, di samping memastikan pelajar mempunyai tempat untuk melakukan aktiviti sukan dan kurikulum tanpa perlu menyewa padang di bandar,” katanya.
Selain pendidikan, beliau mengakui akses kepada liputan Internet yang baik juga perlu ditambah baik kerana penduduk sering berdepan kesukaran menghantar mesej atau panggilan telefon akibat liputan yang lemah, apatah lagi untuk melakukan pembelajaran secara dalam talian.
Bagi mengatasi isu berkenaan, Chan berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching minggu lepas dan dimaklumkan sebuah menara telekomunikasi setinggi 30 meter dengan liputan 5G penuh diluluskan untuk dibina di Kampung Kasuapan.
“Politik pada akhirnya berkaitan tentang berkhidmat kepada rakyat. Kami mesti ada satu matlamat dan kumpulan sasar kerana latar belakang pengundi adalah berbeza-beza. Permintaan mereka pun berlainan. Jadi, sebagai seorang politik yang berpengalaman, kami harus tangani mengikut keperluan,” katanya.
DUN Tanjung Aru yang mempunyai 21,264 pemilih berdaftar adalah antara tiga DUN dalam Parlimen Putatan yang akan melalui PRN pada 29 Nov ini.
| N22: TANJUNG ARU: SABAH: 21,264 | ||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||
| (2020: Junz Wong Hong Jun: Warisan Plus-Warisan: Maj: 3,147) |
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial