WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENUNTUT UNIKL DITEMUKAN LEMAS DI KAWASAN REKREASI DI KULIM

24/11/2025 03:58 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Seorang penuntut lelaki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Kulim ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus sungai yang deras ketika sedang mandi bersama-sama tiga lagi rakannya di kawasan Rekreasi Lubuk Buluh Sungai Sedim, dekat Kulim hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata mayat Nor Airil Hazimi Mansur, 21, dari Kelantan itu dijumpai kira-kira 800 meter (m) dari lokasi awal mangsa mandi bersama dengan rakan-rakannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa dan rakan-rakannya datang untuk mandi di kawasan rekreasi itu pada 8.30 pagi. Semasa sedang mandi, mangsa telah dihanyutkan air sungai dan rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa, tetapi arus yang deras terus menenggelamkan dan menghanyutkan mangsa.

“Rakan mangsa kemudiannya telah meminta bantuan daripada penduduk kampung. Pada 12.30 tengah hari, mayat mangsa telah berjaya ditemukan sebelum dibawa naik ke tebing sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses pengecaman awal mayat telah dilakukan oleh rakan mangsa sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 9.29 pagi sebelum tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

“Sebanyak lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech telah ke lokasi kejadian. Laporan awal yang diperoleh mendapati mangsa yang berusia 21 tahun sedang mandi bersama-sama tiga lagi rakannya sebelum dilaporkan lemas. 

“Mangsa kemudiannya telah dijumpai oleh anggota bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan