WILAYAH - SARAWAK > BERITA

9,800 ANGGOTA, 7,000 ASET PELBAGAI AGENSI DIATUR GERAK BANTU KAWASAN BANJIR

26/11/2025 02:47 PM

TAWAU, 26 Nov (Bernama) -- Sebanyak 9,800 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan bersama 7,000 aset operasi telah diatur gerak di seluruh negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan turut menyediakan jambatan panel keluli bermodular atau jambatan bailey sebagai persediaan menangani masalah jalan putus akibat banjir.

"Jika ditakdirkan ada jalan-jalan putus, kita (kerajaan) telah menyediakan tujuh jambatan bailey di Semenanjung, tiga untuk Sabah dan empat di Sarawak.

"Kita juga sedang memobilisasikan jambatan bailey ini dengan menambah jumlahnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksplorasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Komuniti di Kolej Komuniti Tawau di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata kerajaan telah menyediakan 9,058 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung hingga 2.189 juta mangsa banjir.

"Kita harus bersiap siaga kerana di Vietnam dan Filipina mengalami luruan hujan sangat luar biasa, jadi di utara Semenanjung dan di pantai timur kawasan-kawasan dahulunya yang tidak berlaku banjir, kini banjir termasuk di Bagan Datuk.

"Bagan Datuk terdapat empat PPS dibuka, selama berpuluh-puluh tahun kawasan ini tidak banjir, tetapi di rumah, kampung saya juga dinaiki air," katanya.

Beliau turut mengarahkan semua agensi terlibat memperkukuh kesiapsiagaan memandangkan statistik semasa menunjukkan 188 PPS telah dibuka di seluruh negara yang menempatkan kira-kira 22,000 mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Barisan Nasional  (BN) itu menasihatkan 1.7 juta pengundi di Sabah yang akan mengundi pada Sabtu ini supaya keluar seawal pagi bagi mengelak sebarang kemungkinan hujan. 

Terdahulu, pada pagi ini jurucakap Jabatan Kerja Raya Sabah memaklumkan bahawa dua kejadian cerun runtuh dilaporkan berlaku di Jalan Bukit Bendera Upper, Kota Kinabalu, iaitu di kilometer 0.850 berhampiran Bayshore Condominium dan kilometer 2.550, akibat hujan lebat berterusan.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan