PAPAR, 28 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin gabungan itu akan diberikan mandat sekali lagi untuk menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh kempen dua minggu itu, rakyat menerima baik manifesto serta calon-calon GRS.
“Insya-Allah, kami yakin akan membentuk kerajaan selepas pengundian esok,” katanya dalam kenyataan selepas siri jelajah kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ di Pantai Manis di sini hari ini.
Beliau berkata Papar akan terus maju sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Papar dipilih daripada GRS, iaitu Datuk Gulamhaidar Bahadar Khan (Kawang), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).
Hajiji, yang juga calon GRS bagi kerusi Sulaman sekali lagi menyeru rakyat supaya memilih GRS dalam pengundian esok, sambil menegaskan bahawa sepanjang lima tahun lepas kerajaan negeri yang dipimpin GRS telah membuktikan rekod pencapaian mereka.
“Rakyat tidak seharusnya mendengar pembohongan yang disebarkan pembangkang dalam kempen mereka. Ada antara mereka sudah terbukti gagal. Mereka hanya mampu bertahan selama dua setengah tahun sebelum ditolak rakyat,” katanya.
Pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang menyaksikan pertandingan di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri akan berlangsung esok. Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial