WILAYAH - UTARA > BERITA

PERAK WARTA 887.24 HEKTAR HUTAN SIMPAN KEKAL BAHARU - EXCO

01/12/2025 07:41 PM

IPOH, 1 Dis (Bernama) -- Kerajaan Perak terus memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar apabila berjaya mewartakan 887.24 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) baharu setakat bulan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Teh Kok Lim berkata pewartaan itu menjadikan keluasan keseluruhan HSK Negeri Perak mencecah 988,412.84 hektar.

“Pewartaan HSK yang baharu dinamakan sebagai Hutan Simpan Ulu Slim di Daerah Hutan Perak Selatan seluas 846.36 hektar dan Hutan Simpan Bakau Kuala Gula seluas 40.88 hektar di Daerah Hutan Larut dan Matang.

“Bagi mengukuhkan pengurusan hutan di Hutan Simpan Bakau Kuala Gula, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah menyediakan Pelan Pengurusan Hutan Simpan Kuala Gula bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2026, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan Perak bersama pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi serta masyarakat setempat komited dalam melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Teh berkata usaha itu bertujuan untuk meningkatkan kawasan berhutan di Perak dan setakat bulan lepas, 11.27 juta pokok berjaya ditanam di seluruh negeri ini, melebihi sasaran tanaman, iaitu sebanyak 10 juta pokok hingga hujung tahun ini.

“Selain itu, SIRIM QAS International Sdn. Bhd. telah melaksanakan audit pemantauan bagi pengurusan hutan secara berkekalan [MC&I (SFM)] pada Sept 2025. Hasil pengauditan berkenaan mendapati pensijilan pengurusan hutan di Perak dikekalkan hingga 31 Mei 2029.

“Pengekalan pensijilan ini membuktikan HSK di Perak telah diurus di bawah Sistem Pengurusan Hutan Secara Berkekalan dan mengikut amalan piawaian antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata wakil Kerajaan Belanda juga telah melaksanakan lawatan kerja Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) dan Jawatankuasa Penilaian Perolehan Perkayuan (TPAC) bagi menilai pensijilan pengurusan hutan secara lestari di Malaysia pada Februari lepas.

“Perak merupakan antara lokasi lawatan kerja berkenaan selain Sarawak. Hasil penilaian berkenaan mendapati Kerajaan Belanda berpuas hati dengan pensijilan pengurusan hutan secara lestari yang dilaksanakan dan telah mengemukakan surat penghargaan kepada pihak yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan