KOTA BHARU, 6 Dis (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki tempatan berusia antara 20-an hingga 40-an yang disyaki terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah ini, sekali gus membantu menyelesaikan lima kes berasingan yang dilaporkan sejak Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Mohd Rosdi Daud berkata tangkapan itu merupakan hasil pelaksanaan Op Lejang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Balai Polis Kota Bharu dan Balai Polis Binjai.
Beliau berkata laporan pertama diterima pada 6 Ogos daripada seorang lelaki berusia 50-an yang melaporkan motosikalnya dicuri di hadapan rumah di Kampung Lubuk Pukul, di sini.
"Laporan kedua dibuat pada 5 Sept lalu oleh lelaki berusia 20-an yang kehilangan motosikal di hadapan rumahnya di Padang Kiat, Sering. Kes ketiga diterima pada 23 Nov lalu melibatkan seorang lelaki berusia 40-an yang mendapati motosikalnya hilang di kawasan letak motosikal PPR Kota Bharu, Jalan Kelachor. Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Rosdi berkata kesemua suspek ditahan semalam dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta direman selepas dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan lanjut, termasuk kemungkinan wujud penglibatan rakan subahat atau kaitan dengan kes-kes lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial