WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAYAT DITEMUKAN DALAM BEG DIPERCAYAI WANITA HILANG DI AMPANG

18/12/2025 10:30 PM

SEREMBAN, 18 Dis (Bernama) -- Mayat ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini dipercayai wanita yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor, sejak 8 Dis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu di Balai Polis Ampang, Ampang Jaya, pada Isnin. 

Beliau berkata laporan terbabit diserahkan kepada Balai Polis Pedas, Rembau hari ini sebelum menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi yang dikesan terdapat pelakuan jenayah. 

“Berdasarkan pemeriksaan di sekitar kawasan rumah, polis menemukan satu beg mengandungi mayat seorang wanita yang ditanam di kawasan belakang rumah itu.

“Prosedur bedah siasat akan dijalankan esok dan polis kini sedang giat menjalankan siasatan serta mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau menerusi talian 06-6852222.

Alzafny hari ini mengesahkan penemuan mayat wanita itu, namun identiti mangsa belum dapat dikenal pasti.

Media sebelum ini melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang sejak 8 Dis lepas selepas ibu saudaranya membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kehilangan itu pada Isnin lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan