WILAYAH - SARAWAK > BERITA

50 PANGKALAN HARAM DI SUNGAI GOLOK AKAN DIROBOHKAN MENJELANG AKHIR BULAN INI - POLIS

18/12/2025 02:35 PM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Polis menjangkakan sekurang-kurangnya 50 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Kelantan-Thailand, akan dirobohkan sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini 25 pangkalan haram telah dirobohkan sejak bulan lepas, melibatkan daerah Tanah Merah dan Pasir Mas.

“Kami menjangkakan kira-kira 20 lagi pangkalan haram dapat dirobohkan hingga akhir bulan ini memandangkan masih berbaki dua minggu lagi.

“Hasil pemantauan mendapati tiada cubaan untuk membina semula jeti pangkalan haram yang telah dirobohkan setakat ini, namun pemantauan berterusan akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya mengesan kebocoran maklumat operasi merobohkan jeti pangkalan haram, yang menyebabkan rakit digunakan dan ditempatkan di sebelah Kelantan dialihkan ke sebelah Thailand.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata penutupan sempadan menggunakan pangkalan haram sejak Disember 2024 telah menunjukkan penurunan ketara kes jenayah rentas sempadan.

“Sebagai contoh, sebelum penutupan pangkalan haram, jumlah individu yang merentas sempadan menggunakan laluan ini mencecah hingga 500 orang sehari dengan deretan kenderaan diparkir sepanjang kawasan sempadan.

“Namun kini, hanya kira-kira 10 peratus sahaja yang masih berdegil dan menggunakan pangkalan haram,” katanya.

Sementara itu, mengenai sindiket penyeludupan migran yang aktif menggunakan laluan tidak diwartakan di sempadan Kelantan-Thailand, Mohd Yusoff berkata kegiatan itu berjaya ditumpaskan hasil operasi bersepadu sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, 199 serbuan berjaya dilaksanakan membabitkan kes penyeludupan migran dan kes melindungi migran, selain aktiviti merentas sempadan melalui laluan tidak diwartakan.

Mohd Yusoff berkata bagi kes penyeludupan migran di bawah Seksyen 26A dan 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, polis membuka 50 kertas siasatan dengan 70 tekong dan 332 migran ditahan, selain merampas 39 motosikal, sebuah bas dan tujuh motosikal.

Bagi kes melindungi migran di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 pula, 54 kertas siasatan dibuka melibatkan tangkapan 53 pelindung dan 214 migran, serta rampasan 35 motosikal dan sebuah lori.

Selain itu, bagi kes merentas sempadan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63, polis membuka 27 kertas siasatan dengan 35 individu ditahan, terdiri daripada 29 warga tempatan dan enam warga Thailand, berumur antara 17 hingga 74 tahun.

“Polis akan terus memperketat kawalan keselamatan sempadan, khususnya di laluan tidak sah melalui kerjasama agensi penguatkuasaan lain serta perkongsian maklumat bersama Polis Thailand,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan