KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Mahkamah Majistret hari ini menangguhkan prosiding sebutan kes dadah membabitkan Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee kerana penyanyi rap itu yang dijangkiti Influenza A tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini.
Pada prosiding di dua mahkamah berasingan, peguam Joshua Tay yang mewakili Namewee, 42, memaklumkan kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Majistret S.Arunjothy bahawa anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah kerana kurang sihat.
"Pihak kami mengemukakan sijil cuti sakit serta laporan perubatan daripada sebuah hospital yang mengesahkan anak guam dijangkiti Influenza A dan diberi cuti sakit selama tiga hari bermula semalam," kata Joshua.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan kes masing-masing pada 22 Dis ini dan 19 Jan tahun depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi' Asnitha Zaina' Larifin dan Izzat Amir Idham.
Mengikut pertuduhan pertama, Namewee didakwa memiliki dadah disyaki jenis ekstasi seberat kira-kira 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini, pada 4.30 petang, 22 Okt lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, melalui ujian air kencing, didapati tertuduh memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carbolic Acid (THC) dan ketamin ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 7.15 malam, tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial