KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Richmond Asia Group merancang untuk mengembangkan portfolio hospitalitinya di Malaysia bagi merangkumi sehingga 20 hotel dalam tempoh lapan tahun lagi.
Dalam kenyataannya, syarikat pemaju itu berkata pengembangan itu disokong oleh bilangan pelancong lebih kukuh, pemulihan aktiviti hartanah serta peningkatan permintaan yang dipacu oleh pelaburan dalam infrastruktur digital.
“Pelan hala tuju lebih agresif itu hanya memaparkan keyakinan ketara kami terhadap trajektori ekonomi Malaysia.
“Pengembangan ini bukan mengenai skala semata-mata, tetapi bagi membina hartanah yang dapat melonjakkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi berkelas dunia yang memberi pulangan mapan,” katanya.
Richmond Asia Group juga menyifatkan langkah itu seiring dengan jangkaan trend atau aliran yang dapat mewujudkan peluang berterusan di salah satu pasaran paling dinamik di Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutifnya Aaron Yap berkata aliran pelancongan dan usaha pembandaran Malaysia ternyata membuka lebih banyak peluang jangka panjang dalam sektor hospitaliti dan hartanah.
“Usaha memanfaatkannya pula membabitkan pembangunan strategik dan pengurusan yang menepati keperluan pasaran tempatan serta antarabangsa,” katanya.
Richmond Asia Group akan turut menumpukan aspek merealisasikan pelan pembangunannya kepada projek yang menawarkan pulangan menarik serta bagi jangka panjang.
Antara contoh terbaik adalah Richmond JBCC di Johor Bahru yang meraih anugerah dan menempatkan hotel Hyatt Place.
“Langkah seperti pemilikan dan menguruskan secara langsung Hyatt Place membolehkan kami membuka peluang pendapatan berterusan selain sinergi operasi yang melangkaui pulangan tradisional dalam hartanah,” katanya.
Selain itu pada Oktober lepas, Richmond Asia Group telah memeterai perjanjian pengurusan hotel dengan kumpulan hotel terbesar milik keluarga di Sepanyol, Barceló Hotel Group, untuk mengendalikan hotel terbaharunya, Richmond Estelar di Kuala Lumpur.
Kerjasama sedemikian, katanya, akan memperkenalkan konsep hospitaliti berteraskan gaya Eropah ke pasaran Malaysia.
“Penyertaan kali pertama itu meletakkan Richmond Estelar sebagai tarikan destinasi modal dan menyuntik pengalaman luar biasa kepada pertumbuhan hasil yang mapan,” katanya.
Tambahan terbaharunya dalam portfolio aset kumpulan itu di negara ini adalah Richmond Mayor yang disifatkan kumpulan itu sebagai aset penjana pendapatan di Johor.
“Ini adalah pembangunan bersepadu dengan penggunaan bercampur-campur di Mount Austin, Johor Bahru yang merangkumi sebuah hotel dan akan dikendalikan oleh Capri by Fraser, suite serta kediaman yang dilengkapkan dengan kemudahan servis atau perkhidmatan, suite pejabat serta gedung beli-belah khusus berteraskan gaya hidup.
“Pembangunan itu akan turut meliputi elemen kesejahteraan bagi menarik permintaan daripada industri itu yang terus berkembang,” katanya.
Selain itu, Richmond Asia Group menyatakan strategi hospitalitinya juga menumpukan pelbagai cabang perniagaan yang merangkumi perolehan hasil pendapatan berulangan atau berterusan yang melangkaui kadar caj bilik.
Menurutnya, ini termasuk aspek pengurusan hotel, operasi parkir kereta, pengiklanan dan promosi, pengurusan pusat beli-belah selain operasi makanan dan minuman.
“Richmond Asia Group menganggap hotel sebagai portfolio aset yang mampu memberi pulangan tinggi dan beroperasi dalam persekitaran yang mana setiap elemen berperanan khusus untuk mewujudkan nilai dan pulangan yang mapan serta berterusan.
“Sejajar dengan falsafah pelaburan aset kami, portfolio kami dapat mencapai dividen suku tahunan melebihi lima peratus selama enam bulan berturut-turut walaupun sebahagian daripada aset masih dalam perancangan.
“Ini sekali gus membuktikan prestasi yang stabil serta pengurusan berdisiplin,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai Richmond Asia Group di www.richmondasiagroup.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial