Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dijangka memulakan kaedah 'pengeboman air hari ini dalam usaha meredakan kebakaran tanah gambut hampir 100 hektar sejak Jumaat lepas, di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM Mohd Ruzaidi Ramlee berkata helikopter MI-17-IV bersama dua juruterbang dan 13 kru akan berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor pagi ini dan dijangka tiba kira-kira 10 pagi.
“Penggunaan helikopter hanya efisien kepada kebakaran permukaan tanah. Selain pemadaman api, helikopter juga digunakan untuk membuat fire break serta penghantaran anggota dan peralatan ke tempat sukar diakses melalui jalan darat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Helikopter dilengkapi peralatan Bambi Bucket berkapasiti 1,590 liter untuk pemadaman kebakaran hutan melalui kaedah Fire Bucket itu akan dikendalikan dua juruterbang, iaitu Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hasrizal Kamaruzzaman dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Sulaiman.
Sebanyak 13 kru yang terlibat pula terdiri dua jurutera penerbangan, lima kuartermaster udara, empat daripada Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) dan dua bowserman.
Mohd Ruzaidi berkata mereka akan membuat tinjauan udara terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan semasa kebakaran bagi perancangan misi pemadaman selanjutnya bersama komander operasi.
Operasi pemadaman kebakaran mencapai 50 peratus setakat 7 malam tadi, apabila bomba yang dibantu pelbagai agensi, mengawal dan memadam kira-kira 49.8 hektar daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran, dengan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu.
Operasi turut mendapat kerjasama agensi luar termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Alam Sekitar.
Tahap kemerebakan yang tinggi berlaku akibat cuaca kering dan berangin, menyebabkan asap tebal merebak ke kawasan perumahan di sekitar Taman Bayu Damai, selain menghadapi cabaran kekurangan sumber air dan laluan masuk ke lokasi kebakaran yang sukar diakses.
Situasi itu menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan, menyebabkan kesukaran bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap yang kuat.
Rentetan daripada itu, sebanyak153 mangsa daripada 50 keluarga terpaksa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal, setakat 8 pagi ini.
Semalam di Sektor B, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 500 kaki dengan bantuan breaching dan pancutan nozzle selain pembinaan fire break.
Sementara itu di Sektor A, anggota bomba bersama APM dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memadam kebakaran di belakang kawasan perumahan menggunakan pam jentera, pam angkut dan sumber air pili bomba berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial