WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEBAKARAN TANAH GAMBUT: BOMBA LAKSANA 21 PENGEBOMAN AIR

28/01/2026 05:42 PM

KOTA TINGGI, 28 Jan (Bernama) -- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini berjaya melaksanakan 21 kali pengeboman air melibatkan penggunaan 33,000 liter air dalam misi memadam kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM Mohd Ruzaidi Ramlee berkata pemadaman dilakukan menerusi operasi fasa pertama yang bermula pada 12.30 tengah hari, mengambil masa 1 jam 42 minit penerbangan.

“Tumpuan pemadaman oleh helikopter adalah di sektor D dan E iaitu kawasan tengah kebakaran yang sukar dimasuki anggota bomba darat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata operasi pengeboman air berdepan beberapa cabaran antaranya kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian dan tiupan angin kuat dari laut yang meningkatkan risiko penerbangan.

Mohd Ruzaidi berkata satu lagi penerbangan dijadualkan pada sebelah petang ini, dengan jangkaan kira-kira 40 kali pengeboman air melibatkan 50,000 liter air.

Helikopter berkenaan dilengkapi peralatan Bambi Bucket berkapasiti 1,590 liter.

Setakat 12 tengah hari, kira-kira 54.8 peratus daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dan penggunaan aset udara dijangka dapat meningkatkan kadar pemadaman, khususnya di kawasan tengah.

Tinjauan udara mendapati masih terdapat kawasan perumahan yang diselubungi asap dengan kesan kebakaran jelas kelihatan di beberapa lokasi manakala pasukan bomba di darat masih bertungkus-lumus meneruskan kerja-kerja pemadaman.

Kebakaran berkenaan menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan, menyebabkan kesukaran bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap yang kuat.

Sebanyak 153 orang daripada 50 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal, setakat 8 pagi ini.

Semalam di Sektor B, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 152.4 meter dengan bantuan breaching dan pancutan nozel selain pembinaan pemisah api.

Sementara itu, di Sektor A, anggota bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memadam kebakaran di belakang kawasan perumahan menggunakan pam jentera, pam angkut dan sumber air pili bomba berhampiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan