WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN DICADANG WUJUD KEMENTERIAN KHAS TANGANI MISKIN BANDAR

28/01/2026 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Seorang Ahli Parlimen mencadangkan agar Kerajaan MADANI mewujudkan satu kementerian khas atau agensi pusat bagi menangani isu kemiskinan bandar di negara ini secara lebih komprehensif. 

Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berkata tanpa tumpuan khusus untuk menyelesaikan isu berkenaan, usaha sedia ada bagi membantu golongan miskin bandar dikhuatiri hanya bersifat merawat simptom tanpa menyelesaikan akar umbi permasalahan.

“Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri bersekali dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) juga wajar bersama-sama merangka satu pelan menyeluruh bagi menangani isu ini.

“Negara begitu cepat membangun, banyak lokaliti sudah menjadi perbandaran dan kepesatan ini telah memerangkap beberapa kelompok masyarakat dalam kemiskinan bandar,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata isu kemiskinan bandar tidak boleh dilihat secara sekali imbas kerana ia mempunyai lapisan dan rangkaian permasalahan yang kompleks termasuk memberi kesan kepada malnutrisi, perkembangan otak serta kualiti pembelajaran anak-anak sehingga menyebabkan mereka tertinggal daripada arus pembangunan.

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pula mencadangkan agar kerajaan memperhalusi kaedah penilaian bantuan ekonomi bagi menangani tekanan kewangan yang dihadapi "generasi sandwich" di negara ini terutama dalam mendepani realiti masyarakat menua menjelang 2036.

Beliau berkata sistem penilaian sedia ada perlu mengambil kira beban penjagaan warga emas dan kos pendidikan anak-anak yang ditanggung secara serentak kumpulan pertengahan itu selain mempercepat pembangunan ekonomi penjagaan bagi membuka peluang pekerjaan setempat serta mengurangkan kebergantungan sepenuhnya terhadap fasiliti kesihatan awam.

“Apabila kos penjagaan kesihatan ibu bapa meningkat, kos pendidikan anak-anak juga bertambah manakala pendapatan statik akan mewujudkan tekanan kewangan berpanjangan. 

“Ini bukan sahaja bersifat ekonomi malah memberi kesan kepada kesihatan mental, produktiviti tenaga kerja dan dalam jangka panjang, akan menjejaskan daya tahan serta produktiviti ekonomi negara,” katanya.

Pada sesi sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menyarankan agar setiap dasar kerajaan merangkumi komponen pembangunan usahawan dan pendidikan yang mempunyai sasaran jelas dan boleh dicapai oleh semua pihak. 

Beliau berkata pembangunan ekonomi yang rancak perlu seiring dengan pemeliharaan kepentingan setiap kaum bagi memastikan pertumbuhan negara yang seimbang dan inklusif.

Sementara itu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) menggesa kerajaan meningkatkan aplikasi pengesanan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani manipulasi maklumat yang kini mencecah 67,735 kes jenayah digital membabitkan kerugian sebanyak RM2.7 bilion pada 2025.

“Penipuan digital kini mengeksploitasi AI menerusi penyamaran imej serta video untuk memanipulasi mangsa selain mengakibatkan kebocoran data peribadi yang menggugat kestabilan sosial,” katanya yang turut menyifatkan industri gelap itu sebagai ancaman serius terhadap keharmonian negara.

Justeru, beliau mencadangkan pengukuhan kerjasama antarabangsa dan pemerkasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 selain integrasi strategik bersama pengendali platform media sosial bagi memantau iklan palsu.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan