WILAYAH - SARAWAK > BERITA

APMM JAMIN KESELAMATAN PELANCONGAN MARITIM SEMPENA TMM2026

14/02/2026 12:19 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberikan jaminan tahap keselamatan pelancongan maritim negara berada dalam keadaan terkawal, dan bersedia sepenuhnya bagi menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata sebagai agensi utama penguatkuasaan undang-undang maritim serta operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), APMM memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelancong tempatan dan antarabangsa yang menjalankan aktiviti di perairan negara.

Beliau berkata sepanjang 2025, APMM telah mengendalikan sebanyak 256 operasi CARILAMAT melibatkan 1,930 mangsa dengan 1,768 individu berjaya diselamatkan, manakala 125 kematian direkodkan.

"Sehubungan dengan itu, APMM tidak mahu melihat peningkatan statistik kemalangan di laut yang berpunca daripada kecuaian serta kurang kesedaran keselamatan, khususnya dalam kalangan pengguna dan pengusaha aktiviti pelancongan maritim," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, APMM kini berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi memastikan semua aktiviti pelancongan maritim dapat dilaksanakan dengan selamat, terkawal dan mematuhi piawaian keselamatan sepanjang tahun.

Mohd Rosli menegaskan tanggungjawab keselamatan di laut bukan terletak sepenuhnya di bahu APMM, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak termasuk pengusaha bot, agensi pelancongan serta individu yang terlibat dalam aktiviti di laut.

"Pematuhan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan, membawa kit kecemasan serta Personal Locator Beacon (PLB), penggunaan bot yang berdaftar dan selamat selain pemantauan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut adalah aspek yang tidak boleh dikompromi bagi mengelakkan kemalangan serta kehilangan nyawa," katanya.

Sebagai persediaan sempena TMM2026, Mohd Rosli berkata tumpuan khusus diberikan kepada kawasan panas pelancongan maritim termasuk pulau-pulau peranginan, perairan pantai, laluan feri dan bot penumpang serta lokasi aktiviti rekreasi laut.

"Pendekatan kami bukan semata-mata operasi penguatkuasaan, sebaliknya memberikan penekanan kepada pencegahan awal dan pemantauan keselamatan bagi memastikan pelancong merasai perairan Malaysia sebagai selamat dan terkawal," katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli turut memaklumkan APMM akan menyambut Hari Ulang Tahun ke-21 esok di Miri, Sarawak dengan tema "21 Tahun Maritim Malaysia: Maritim Diperkasa, Samudera Terpelihara" sebagai komitmen berterusan agensi dalam memastikan keselamatan perairan negara terus terpelihara.

Beliau berkata sambutan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara APMM dengan komuniti maritim, pemain industri pelancongan dan perkapalan serta agensi berkaitan dalam memperkasakan budaya keselamatan di laut, selain memperluas kesedaran awam terhadap peranan APMM sebagai benteng keselamatan perairan negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan