KEPALA BATAS, 22 Feb (Bernama) — Seorang mangsa kejadian kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah di Kampung Permatang Krai Besar di sini, awal pagi tadi tidak menyangka bunyi letupan yang didengari ketika bangun untuk bersahur rupanya kebakaran.
Jamilah Ismail, 58, berkata pada mula dia terdengar bunyi sesuatu meletup dari luar rumah tetapi menyangka ada orang bergaduh.
“Namun apabila saya buka pintu, terkejut tengok api dah menyala besar membakar tiga rumah di sebelah. Saya terus lari kejutkan suami dan anak-anak sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
“Api merebak dengan cepat, dalam 10 minit saja semuanya musnah dan memang tak sempat nak buat apa-apa, hanya mampu selamatkan diri dan capai beg berisi sedikit wang dan kad pengenalan,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Jamilah yang tinggal di rumah berkenaan bersama suami, anak, menantu dan tiga cucu memberitahu kebakaran itu turut memusnahkan semua kelengkapan jualannya selepas baru tiga hari berniaga nasi ulam di bazar ramadan di Bertam, namun bersyukur semua ahli keluarganya selamat dalam kejadian itu.
Buat sementara waktu ini, katanya, mereka sekeluarga menumpang di sekolah agama berhampiran dan mengharapkan bantuan dapat diberikan bagi membolehkan dia berniaga semula kerana ia merupakan punca utama pendapatannya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa Shahrul Nizam Omar, 42, berkata ketika kejadian berlaku dia berada di rumah bersama dua orang anaknya manakala isteri dan seorang lagi anaknya berada di rumah sewa mereka yang terletak tidak jauh dari situ.
“Anak bongsu yang tidur di ruang depan berasa panas sebelum ternampak api sedang marak dan terus kejutkan saya. Saya cuba padam api guna air paip tapi tak berjaya sebab tekanan air di sini rendah,” katanya sambil memberitahu mukanya turut terkena bahang api sebelum lari menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, katanya, dia gagal menyelamatkan dua buah kereta yang digunakan untuk berniaga dan reda dengan musibah menimpa diri mereka sekeluarga.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.06 pagi.
Beliau berkata kebakaran itu melibatkan empat buah rumah yang dihuni 21 orang dengan kemusnahan dianggarkan sekitar 80 peratus.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial