WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAHKAMAH RAYUAN BEBASKAN KERAJAAN DARIPADA LIABILITI DALAM SAMAN KECUAIAN

26/02/2026 10:38 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan telah membebaskan kerajaan daripada liabiliti dalam saman kecuaian yang difailkan oleh sebuah syarikat pengedar filem berhubung penyiaran filem Hindi Boss oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), kira-kira lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang bersidang bersama-sama Datuk Alwi Abdul Wahab dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters, pada Isnin membenarkan rayuan kerajaan serta RTM untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa Supreme Broadcast International Sdn Bhd telah membuktikan tuntutan kecuaian terhadap kerajaan dan RTM, serta memerintahkan kedua-duanya membayar pampasan sebanyak USD30,000 kepada syarikat itu.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Peters berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam dapatan berhubung liabiliti dan pemberian ganti rugi.

Beliau berkata Supreme Broadcast International Sdn Bhd tidak mengemukakan sebarang bukti bagi membuktikan kerugian sebanyak USD30,000 dan tuntutan syarikat itu adalah tidak dapat dipertahankan.

Mahkamah kemudian memberikan kos sebanyak RM50,000 kepada perayu

Supreme Broadcast mendakwa bahawa ia telah memeterai perjanjian selama lima tahun pada 2013 dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai bagi memperoleh hak untuk mengedarkan filem itu di Malaysia dan Brunei pada kadar USD30,000.

Syarikat itu mendakwa telah menghantar notis kepada RTM bagi menegaskan hak pengedaran eksklusifnya, dan bahawa stesen penyiar tersebut telah melanggar kewajipan berhati-hati apabila gagal mengesahkan tuntutan berkenaan.

Kerajaan dan RTM, dalam pembelaan mereka, menafikan bahawa mereka cuai serta memaklumkan bahawa mereka telah mengikat kontrak dengan syarikat pembekal iaitu Film Station Productions Sdn Bhd bagi filem itu serta tidak pernah berurusan dengan responden berhubung pemerolehan Boss.

Dalam penghakiman Mahkamah Rayuan, Peters berkata RTM telah menyiarkan filem itu berdasarkan kontrak yang sah dengan Film Station dan pembayaran telah dibuat serta tiada bukti yang menunjukkan bahawa kontrak tersebut tidak sah.

“Kami mendapati bahawa responden telah gagal sejak awal lagi... hubungan antara pihak-pihak bukanlah hubungan yang rapat... Hakikat bahawa responden mungkin mempunyai sejarah menjual hak filem kepada RTM sebelum ini tidak, dengan sendirinya, mewujudkan hubungan rapat berhubung setiap filem lain di pasaran,” katanya.

Hakim itu berkata notis itu, walaupun diterima oleh RTM, tidak dengan sendirinya mewujudkan kewajipan berhati-hati.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan