WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OMODA JAECOO MALAYSIA SASAR PERTUMBUHAN DUA DIGIT SUSULAN PELANCARAN JAECOO J5

05/03/2026 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Omoda Jaecoo Malaysia menyasarkan pertumbuhan sekurang-kurangnya dua angka pada tahun ini, disokong oleh pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B baharunya, Jaecoo J5, susulan lonjakan jualan yang kukuh sebanyak 153 peratus pada 2025.

Pengarah Kanan Omoda Jaecoo Malaysia Chris Tan berkata Jaecoo J5 yang baru dilancarkan dijangka menyumbang kepada pengembangan jenama itu dalam segmen SUV tempatan memandangkan ia terus mengukuhkan rangkaian produknya di Malaysia.

“Fokus kami bukan sekadar angka. Kami mahu membawa produk yang sesuai untuk pasaran kami dan memastikan pelanggan kami berpuas hati,” katanya selepas pelancaran SUV itu di sini hari ini.

Walaupun syarikat itu tidak mendedahkan sasaran jualan, namun ia kekal optimistik untuk mengekalkan pertumbuhan kukuhnya.

Jenama itu merekodkan jualan melebihi 7,040 unit kenderaan pada 2024, kemudian meningkat pada 2025 apabila penghantaran melonjak sebanyak 153 peratus tahun ke tahun kepada 17,849 unit.

Ditawarkan pada harga RM108,000 seunit, Jaecoo J5 dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2+ dan diposisikan sebagai kenderaan mesra haiwan peliharaan, dengan kemasan tempat duduk diperakui mesra haiwan peliharaan yang mempunyai ciri-ciri antibakteria dan kalis calar.

Model itu ditawarkan dalam empat pilihan warna: Zircon Grey, Snowy White, Glacier Blue dan Canyon Black.

Bersempena dengan pelancaran itu, Omoda Jaecoo Malaysia memperkenalkan pakej pelancaran istimewa yang sah dari 5 hingga 15 Mac, 2026 untuk pelanggan awal yang membeli Jaecoo J5.

Di bawah promosi itu, pelanggan akan menerima rebat Duit Raya RM3,000, insurans tahun pertama percuma atau rebat Duit Raya Tambahan RM3,000.

Pembeli juga akan menerima Pakej Trio Aksesori Kereta J5 bernilai RM2,000, yang merangkumi subwufer, mikrofon karaoke tanpa wayar dan lampu suluh berbilang fungsi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan