WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SABAH PROAKTIF SALUR BANTUAN PENDIDIKAN, PASTIKAN AKSES ADIL KEPADA PELAJAR - HAJIJI

05/03/2026 03:34 PM

KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri terus proaktif menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar walaupun bidang itu di bawah kuasa Persekutuan, bagi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030, yang menjadi pelan strategik utama untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negeri secara mampan serta inklusif.

“Manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat disediakan kerajaan, selain mengambil tahu setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada progam pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu disini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Hajiji berkata kerajaan negeri melaksanakan 14 inisiatif bantuan pendidikan dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun, yang memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di Sabah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 90,296 pelajar institut pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah (184,911 orang), sekolah termasuk sekolah agama (1,500 buah) dan 57 persatuan pelajar IPT Sabah telah menerima manfaat selain 362 program pendidikan dilaksanakan.

Ketua Menteri berkata bagi tahun ini sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar.

“Tahun ini, dianggarkan 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya.

Beliau berkata 14 inisiatif pendidikan akan diteruskan berbentuk dana dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, program pendidikan serta kelengkapan kemudahan dan digital selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan